Fesyen itu subjektif.
Dalam dunia kini yang dimonopoli oleh pengaruh media sosial, sebarang fashion decision atau pemilihan stail serta gaya seseorang pasti akan memancing tumpuan dan pandangan wargamaya; baik dalam kalangan mereka yang mengenali rapat mahupun ‘warga rawak’ yang menanti masa untuk melemparkan pandangan negatif terhadap gaya seseorang.
Sekembalinya acara fesyen tahunan, KL Fashion Week (KLFW) 2024 bermula semalam di Esplanade Suria KLCC, REMAJA pasti banyak mata yang sedang mengekori kelibat jemputan yang hadir dan gaya-gaya koleksi yang dipertontonkan oleh lebih 50 pereka fesyen tempatan pada kali ini.
Memasuki edisi ke-12 penganjurannya, timbul persoalan bagaimana KLFW tidak mudah melatah dengan apa-apa kritikan yang hadir tanpa disangka? Tambahan pula dalam kaleidoskop media sosial yang berputar mengikut apa yang sedang tular (selalunya tanpa mengetahui konteks lengkap sesuatu situasi), kuasa viraliti sama ada positif atau negatif tidak boleh disangkal.
REMAJA mendapatkan pandangan pengasas KLFW, Andrew Tan sekiranya beliau gusar terhadap pandangan orang ramai mengenai penerimaan fesyen baharu yang cuba dipersembahkan oleh para pereka pada edisi kali ini.
Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.
“Kita hidup dalam dunia media sosial kini dan semua orang berhak untuk memberikan pandangan. Jika kita tidak boleh menerima pandangan pihak lain, maka gunakanlah butang ‘switch off’ pada kotak komen.
“Bagi saya, penggunaan media sosial terpulang kepada setiap individu. Asalkan kamu tahu bagaimana untuk mengendalikan apa-apa tekanan yang tercetus di media sosial; kamu sudah bersedia untuk menerima komen-komen negatif and yet, you know how to energy it the right way; teruskan sahaja.”
“Berbalik kepada kemungkinan ada pereka fesyen atau jenama yang ingin menggunakan kuasa viraliti di KL Fashion Week, kami sebagai penganjur tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap agenda atau niat sebegitu.”
“Viraliti kadangkala mempunyai kelebihan dan kadangkala juga memberikan isu-isu yang tidak diundang. Tetapi saya percaya, pereka-pereka fesyen tempatan sudah masak dengan kelebihan viraliti atau kontroversi yang berkemungkinan tercetus di media sosial,” ulas Andrew Tan.
Tambahnya lagi, sebagai penganjur, mereka sudah bersedia untuk berhadapan with the good and bad of it.
Sememangnya, tiada siapa yang boleh lari daripada pandangan wargamaya. Sekecil-kecil komen yang kita berikan di ruangan yang tersedia juga boleh diinterpretasikan dalam pelbagai cara. Inikan lagi fesyen yang sifatnya subjektif pada mata sang pemerhati.
KL Fashion Week 2024 sedang dilangsungkan di Esplanade Suria KLCC dari 29 Julai hingga 4 Ogos 2024.
Biarpun terletak di dalam khemah tertutup, para pengunjung Suria KLCC dan peminat fesyen tempatan yang ingin merasai kehangatan senario fesyen masih boleh menyaksikan siaran langsung setiap pertunjukan fesyen di layar gergasi di luar khemah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.