Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tampil dengan gaya rambut baharu yang lebih pendek dan kemas berbanding gaya mullet khas untuk penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024, Sabtu ini.
Ketika ditemui pemberitahu sewaktu acara send off di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang (KLIA); Azeem, 20 berharap penampilan segarnya ini akan memberi aura positif baginya mencatatkan catatan masa yang lebih pantas dalam acara 100m di Stade de France.
Malah, penampilan rambut baharu ini juga katanya adalah salah satu cara baginya membina keyakinan dan tampil lebih bertenaga.
“Sebelum ini ramai yang cakap pasal potongan gaya rambut saya. Jadi saya ikut apa yang mereka mahukan tapi dalam masa sama saya rasa ini adalah yang terbaik untuk saya.”
“Sebenarnya, rambut lama itu sudah tiga tahun saya simpan. Mungkin bila rambut sudah pendek ini, mana tahu saya boleh buat masa lebih baik di Paris nanti,” katanya yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat.
BACA: Azeem Fahmi Terus Banggakan Auburn University Dengan Pingat Emas 4x100m – REMAJA
BACA: Azeem Fahmi Raih Gangsa Acara 100m Sukan Asia Ke-19. Tamatkan Kemarau 41 Tahun! – REMAJA
Terdahulu, Azeem mencatatkan rekod kebangsaan iaitu 10.09 saat (s) sewaktu Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.
Penampilan jaguh pecut dari Teluk Intan, Perak itu di Sukan Olimpik ini pula adalah di atas tiket wild card setelah dipilih oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Keberangkatannya ke Paris turut disaksikan oleh ahli keluarga yang sempat menitipkan kata-kata azimat buat dirinya.
“Perkara yang selalu dipesan ibu, ayah dan abang saya adalah untuk nikmati larian saya dan jangan beri tekanana kepada diri sendiri.
“Mereka tahu saya boleh berlari dengan baik kalau saya sentiasa tenang dan tidak fikir terlalu banyak.
Kali ini saya mahu terjemahkan perkara itu apabila beraksi nanti,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro
Foto: BERNAMA Radio
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.