Status solat makmum tak nampak imam ketika berjemaah

KETAHUI status solat apabila makmum tidak nampak imam ketika menunaikan solat secara berjemaah. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

DEK kerana ruang terhad atau terlewat berjemaah, ada makmum yang tidak nampak imam ketika menunaikan solat.

Perkara itu acap kali berlaku. Malah, adakalanya jemaah terpaksa solat di luar kerana dewan solat di dalam masjid sudah penuh.

Apakah status solat jemaah yang dilakukan apabila makmum tidak nampak imam dan hanya mendengar suaranya sahaja menerusi pembesar suara?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, solat seseorang masih sah jika makmum dapat melihat pergerakan solat makmum yang lain atau orang di belakang.

USTAZ AZHAR IDRUS

Ia sebagaimana pandangan dikemukakan oleh Imam An-Nawawi dalam kitab Al-Majmu’: “Disyaratkan bagi sahnya ikutan (dalam solah jemaah) ialah makmum mengetahui segala perpindahan gerak orang yang menjadi imam sama ada solat di dalam masjid atau selain masjid, atau salah seorangnya di dalam masjid dan seorang lagi berada di luar masjid. Inilah perkara yang telah disepakati (oleh para ulama).

“Ulama Mazhab Syafie menyatakan: ‘Dan hasil bagi makmum pengetahuan dengan yang demikian itu dengan mendengar imam atau mendengar orang yang dibelakangnya atau ia melihat pergerakan imam atau pergerakan orang yang di belakang imam. Dan mereka telah menaqalkan ijmak pada harusnya berpegang kepada tiap-tiap satu dari perkara tersebut’.

“Begitu juga dengan pandangan Syeikh Khatib Syarbini dalam kitab Mughni Muhtaj yang mensyaratkan agar makmum mengetahui segala pergerakan imam. Ia supaya mereka dapat mengikut sama ada dengan imam atau melihat sebahagian daripada saf makmum yang lain atau mendengar suara imam.

“Jadi sekiranya makmum tidak nampak imam, tetapi melihat makmum lain, maka solatnya itu sah. Sama juga halnya jika makmum tidak mendengar suara imam, tetapi boleh mendengar suara makmum yang lain, maka sah solatnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Adapun bagi solat makmum tidak sah pula, Ustaz Azhar menjelaskan, ia berlaku apabila makmum itu tidak nampak imam dan makmum serta tidak mendengar suara imam dan makmum.

Seandainya imam dan makmum berada di luar masjid atau imam di dalam dan makmum di luarnya, Jabatan Mufti Negeri Terengganu menjelaskan, para ulama meletakkan tiga syarat tambahan sepertimana disebutkan dalam kitab Al-Taqrirat as-Sadidah.

SEKIRANYA makmum tidak nampak imam, tetapi melihat makmum lain, maka solatnya itu sah. Sama juga halnya jika makmum tidak mendengar suara imam, tetapi boleh mendengar suara makmum yang lain. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Berikut perinciannya sebagaimana dipetik menerusi laman web jabatan mufti berkenaan:

i. Hendaklah tiada penghadang (halangan) yang menghalang makmum daripada melihat imam atau makmum lain yang melihat imam.

ii. Makmum boleh sampai kepada imam tanpa perlu menyimpang dan membelok (daripada arah kiblat).

iii. Jarak antara kedua-dua imam dan makmum tidak melebihi 300 hasta.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply