Sarah Suhairi Kini Bergelar Isteri & ‘Ibu Segera’ Kepada 3 Cahaya Mata, “Selagi Belum Sah, Lebih Baik Simpan Sendiri…”

Juara Big Stage musim pertama dan penyanyi, Sarah Suhairi hari ini selamat bergelar isteri kepada seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bernama Aswad Anuar.

Dengan sekali lafaz, pasangan yang dipisahkan dengan jarak usia 15 tahun sah bergelar suami isteri pada pukul 8:30 pagi bertempat di Barern Hill, Hulu Langat, Selangor.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Suhairi Hamdan dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Ahmad Khaliq Md Rasid.

Pengantin lelaki menyerahkan seutas gelang emas berharga RM2,486 sebagai mas kahwin berserta lima dulang hantaran. Begitupun, jumlah wang hantarannya dirahsiakan. Sementara itu, Sarah, 24 turut menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada pihak lelaki.

Kredit: Instagram Sarah Suhairi

Bercakap kepada rakan media sewaktu ditemui, Sarah memaklumkan dirinya menerima Aswad dengan hati terbuka dan status Aswad sebagai duda kepada tiga anak perempuan bukanlah satu penghalang buatnya terus berkenalan sehingga ke jenjang pelamin.

Sarah juga mendedahkan bibit pengenalan mereka hanya bermula setelah Aswad sudah bergelar bapa tunggal selama setahun. Sepanjang empat tahun pengenalan sejak detik itu, mereka tidak pernah meletakkan sebarang status tertentu terhadap perhubungan mereka.

Kredit: Instagram Sarah Suhairi

Kongsi Sarah lagi, ketiga-tiga puteri dalam hidup suaminya itu boleh menerima baik kehadirannya sebagai ibu baharu. Status ‘ibu segera’ yang digembar-gemburkan juga tidak menjadi masalah buatnya dan apa yang lebihh utama adalah bagaimana mereka akan melayari kehidupan berumah tangga dengan tiga orang anak selepas ini.

“Sepanjang empat tahun kami berkawan, hubungan kami bukan satu rahsia kerana Aswad sering menemani saya ke majlis-majlis tertentu.

“Cuma dia tidak menonjolkan diri sangat kerana selagi belum ada ikatan sah, lebih baik simpan sendiri sahaja,” ulasnya.

Majlis bertemakan rona putih pada sebelah pagi tadi telah disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan rakan media yang membuat liputan majlis akad nikah mereka.

Antara rakan-rakan artis yang hadir meraikan pasangan mempelai termasuklah Naim Daniel, Afieq Shazwan, Wani Kayrie, Sissy Iman dan Shaffiq Erwin.

Sekadar info, pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 27 Januari lalu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

, , ,

by

Comments

Leave a Reply