Walau berada di zaman yang serba canggih tapi tak dinafikan masih ada yang mempercayai akan ‘bomoh’ atau dukun. Ada yang terlalu mempercayainya hingga mendatangkan kemudaratan.
Antaranya seperti kematian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli kerana dituduh mencuri komputer riba.
Kisah menyayat hati Allahyarham bermula apabila namanya antara yang disebut oleh seorang ‘bomoh’ untuk mengesan siapakah pencuri komputer riba (laptop) berkenaan. Akibatnya Allahyarham Zulfarhan bukan sahaja dipukul supaya mengaku mencuri komputer riba berkenaan malah turut juga ditekap menggunakan seterika wap hingga mendatang kecederaan teruk yang juga menyebabkan kematiannya.
Kepercayaan kuat kepada bomoh, dukun atau tukang ramal ini membuatkan golongan ini sanggup mengenepikan hukum agama. Adalah haram hukumnya bagi seseorang mendapatkan nasihat dan pandangan mengenai sesuatu urusan daripada tukang ramal.
Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dalam satu hantaran di Facebook berkata, hukumnya juga adalah sama bagi seseorang yang pergi kepada tukang ramal (dukun) bagi meminta mengubati sihir yang dihadapi.
Jelasnya, apabila seseorang pergi menemui mereka untuk mengubati sihir yang dihadapi, perbuatan tersebut jelas membawa kepada pergantungan kepada selain Allah.
“Perlakuan-perlakuan ini boleh membawa syirik kepada Allah. Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik kepada-Nya dan mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Nya,” tulisnya.
Tambah Jakim, mendatangi bomoh, dukun adalah salah satu jenis daripada syrik kepada Allah adalah keyakinan dengan mengetahui yang ghaib atau pengubatan penyakit melalui perantaraan selain Dia.
“Hadis Riwayat Muslim (5957), Nabi Muhammad SAW bersabda sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.
“Hadis Riwayat Ahmad (9171) pula, sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,” tulisnya.
Sumber: Kosmo
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.