Haram, dosa besar makan harta batil

PENIPUAN daripada derma sumbangan orang ramai yang sepatutnya untuk tujuan kebaikan, tetapi diseleweng untuk kegunaan diri sendiri atau perkara lain bukan sebagaimana dicanang merupakan satu bentuk eksploitasi dan tidak amanah. -Foto: Canva

AKHIR-AKHIR ini, istilah penunggang agama kembali diperkatakan. Barangkali kerana terdapat beberapa siri isu salah laku membabitkan derma sumbangan orang awam tidak sampai kepada pihak sepatutnya.

Apabila amanah yang diberikan dikhianati pihak tidak bertanggungjawab, ia memberi imej buruk apatah lagi ada yang menggunakan nama agama untuk berbuat demikian.

Meskipun ada yang sedang dan telah dikenakan tindakan undang-undang, namun ia mencalarkan imej Islam kerana tergamak ‘bertopengkan’ agama demi kepentingan atau laba tertentu.

Benarkah wujudnya golongan sebegitu dalam Islam? Apakah ancaman bagi orang yang menipu menggunakan sentimen agama untuk mengutip derma demi meraih perhatian ramai, tetapi tidak disalurkan sebaiknya?

Jejaskan imej Islam

Sinar Islam Plus mendapatkan Profesor Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir mengajak beliau berbicara lanjut tentangnya.

DR BADLIHISHAM

Jelas beliau, masyarakat lazimnya mengaitkan ‘penunggang agama’ dengan mereka yang menjadikan agama sebagai alat bagi mencapai tujuan bertentangan dengan syariat.

“Istilah penunggang agama mungkin dipopularkan kerana sebab-sebab tertentu atau sengaja disebut sebegitu untuk memberi pandangan negatif dan sinikal kepada mereka yang menjadikan sebagai agama serta pedoman.

“Ini kerana bagi segelintir orang, asal sahaja seseorang berhujah menggunakan al-Quran dan hadis, terus dilabelkan penunggang agama hingga kita keliru dengan (maksud) penunggang hawa nafsu yang hakikatnya menentang agama,” katanya.

Menurut perspektifnya, istilah tepat bagi kelompok itu adalah menyalahgunakan agama sama ada bagi tujuan sendiri atau mengubah matlamat sesuatu amalan agama untuk kepentingan peribadi.

“Saya lebih suka istilah menyalahgunakan agama kerana frasa menunggang agama jika mengikut aturan dan syaratnya, ia akan membawa kesan yang positif.

“Jadi jangan kita sempitkan dengan istilah yang boleh dikaitkan dengan kebaikan itu untuk menunjukkan keburukan, apatah lagi jika ia berbaur dengan cubaan menunjukkan agama itu sendiri terlibat dalam gambaran atau unsur negatif,” katanya.

Jelas Dr Badlihisham lagi, bahaya golongan yang mengeksploitasi agama itu hinggakan masyarakat bakal menerima impak besar kerana mereka sebahagian daripada masyarakat.

PENIPUAN mengutip derma atas nama agama, tetapi tidak disalurkan kepada pihak sepatutnya memang diharamkan oleh ALLAH SWT dan berdosa besar hukumnya kerana ia melibatkan isu memakan harta secara batil. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Islam akan menjadi buruk khususnya pada pandangan orang bukan Islam,” katanya.

Dari satu segi, ujar ahli akademik itu, ciri-ciri penunggang agama itu secara spesifiknya saling tidak tumpah dengan sifat munafik yang digambarkan oleh Islam iaitu berdusta ketika mengungkapkan perkataan, mengingkari perjanjian dan mengkhianati kepercayaan.

Sedangkan, ALLAH SWT memberi peringatan agar tidak menjual ayat-ayat-NYA dengan harga yang sedikit untuk habuan duniawi dan tidak mencampurkan antara yang hak dan batil sebagaimana dirakamkan dalam ayat 41 dan 42 surah al-Baqarah.

Oleh itu, Dr Badlihisham mengingatkan, bahana eksploitasi agama ini menyebabkan ad-Din yang sepatutnya menjadi tunggangan untuk ke syurga telah ‘dirampas’ ke neraka.

“Ini kerana ancaman golongan itu menjejaskan kepercayaan orang kepada sesetengah kumpulan dalam memperjuangkan agama yang sebenar hingga dipandang sinis,” ungkapnya.

Haram makan harta batil

Apa pula pandangan agama tentang penipuan mengutip derma dengan menggunakan sentimen agama, tetapi akhirnya tidak disampaikan kepada pihak sepatutnya?

Ketika dilontarkan persoalan itu, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjawab, penipuan sebegitu memang diharamkan oleh ALLAH SWT dan berdosa besar hukumnya apatah lagi ia melibatkan isu memakan harta secara batil.

USTAZ MOHAMAD HADI

“Sudahlah diambil secara haram, bayangkan penipuan daripada derma yang sepatutnya digunakan untuk tujuan kebaikan, tetapi diseleweng bagi kegunaan diri sendiri atau perkara lain bukan seperti dicanang. Ini satu penyelewengan dan tidak amanah,” ujarnya.

Jelas beliau, dosa itu bukan hanya kepada ALLAH, tetapi juga melibat-kan penderma-penderma kerana telah berbohong kepada mereka.

“Maka orang itu perlu menjelaskan kepada penderma dan memohon maaf serta minta halalkan wang sumbangan tersebut. Jika tidak dimaafkan, maka ‘beban’ itu akan dibawa kepada akhirat hingga muflislah orang yang menipu tadi.

“Apa tidaknya, pahala solat, puasa, zakat dan sebagainya akan diberikan kepada orang yang ditipu tadi,” hurainya panjang lebar.

Sebagai pengutip derma yang menjadi wakil atau pemegang amanah, mereka sepatutnya menyerahkan sumbangan terbabit seperti dihasratkan pihak penderma sama ada untuk tujuan pembinaan madrasah, pusat tahfiz, membantu fakir miskin dan sebagainya.

“Bila tidak ditunaikan amanah itu apalagi menyelewengkan duit, ia jadi satu pengkhianatan dan juga pembohongan yang mana Nabi Muhammad SAW tidak mengaku sebagai umatnya.

“Sudah tentulah pendustaan itu akan membawa ke neraka di akhirat. Maknanya, perbuatan itu mengun-dang pelakunya untuk diazab pada hari akhirat kelak,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply