Proton S70 – Apa yang perlu diharapkan?

Proton S70 yang dilancarkan pada November 2023, dilihat mencapai data jualan yang memberangsangkan dengan lebih dari 10,000 unit sudah terjual. Namun, apa yang istimewanya segmen sedan dari Proton kali ini?

Dalam artikel ini kami akan rungkaikan pengalaman jujur kami memandu dan menguji S70 di sekitar Lembah Klang. Perkara yang ingin dikongsikan ini bukanlah ‘satu saiz untuk semua’, mungkin ada perkara yang pembaca kurang berkenan dan mungkin ada yang pembaca gemar. Jadi tepuk dada, semak akaun bank dan tanya pasangan/rakan. 

Reka Bentuk yang Lebih Mewah dan Moden

Satu perkara yang pasti akan menarik perhatian ramai adalah reka bentuk. Proton S70 diperkenalkan melalui empat varian iaitu, Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Namun perbezaan bagi kesemua ini tidaklah jauh beza. Sebagai contoh, Executive dan Premium hadir dengan rim saiz 16 manakala dua lagi rim saiz 17.

Kelainan lain terletak pada komponen kosmetik dan pencahayaan seperti bar lampu belakang, penggunaan lampu depan ,sunroof ,kit badan dan lain-lain. 

Secara keseluruhan, Proton S70 tampak lebih berjiwa muda – namun tidak terlalu muda. Pendapat kami, lingkungan umur yang nampak normal memandu S70 (berdasarkan rekaan) adalah umur 25 tahun ke atas. 

Prestasi Enjin yang Ditingkatkan

Proton S70 dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan efisien. Proton menawarkan enjin 1.5 liter turbocharged – sama seperti model X50 dan X70. Enjin ini mampu memberikan keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Tangki penuh (50 liter) boleh jalan hingga 660 kilometer! Kuasa maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 150HP, 226 Nm tork – transmisi Dual Clutch 7 kelajuan.

Bayangkan enjin 1.5L turbo diletakkan pada kereta Sedan, memang berdesup laju. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 210 km/j bergantung kepada keadaan cuaca, jalan, trafik, angin ,suhu ,kapasiti bahan api ,muatan dan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport.

Teknologi, Pengendalian dan Keselamatan Terkini

Dalam era di mana teknologi memainkan peranan penting dalam pengalaman pemanduan, Proton S70 lengkap dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Sistem infotainment lebih canggih dengan skrin lebih besar (12.3 inci), sistem navigasi, arahan suara, keterhubungan telefon pintar, cas tanpa wayar, 5 slot USB, boleh hidupkan enjin dari jarak jauh dan pelbagai lagi perincian yang menyenangkan pengguna. 

Dari segi pengendalian, S70 lulus jangkaan kami dengan cemerlang. Kami pandu uji di kawasan berliku dengan selekoh yang sempit, ternyata S70 mampu memberi pengendalian yang sangat bagus. Di bawah 40 km/j, model ini masih mampu untuk membalas selekoh tanpa rasa membuang atau tidak stabil. Syabas Proton!

Pada kelajuan tinggi pula, gegaran dan body-roll kereta sangat minimum. Sehingga satu tahap anda terasa seperti meluncur pada kelajuan sederhana. Jadi fokus dan risiko perlu diambil kira dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Pusingan radius stereng juga lebih panjang jika dibandingkan dengan model terdahulu – Proton Preve. 

Selain itu, ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan elektronik, dan enam beg udara akan meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang. Secara keseluruhan, ada 15 perincian keselamatan pada model S70 ini. Sebab itu ianya lulus ujian keselamatan ASEAN NCAP dengan skor lima bintang.  

Ruang Dalaman yang Lebih Luas dan Selesa

Salah satu kekuatan utama Proton S70 adalah ruang dalaman. Dengan penekanan kepada keselesaan, tempat duduk direka lebih ergonomik dengan bahan berkualiti tinggi. Setiap sudut dalaman telah diberi fungsi tertentu yang sudah semestinya memberi kesenangan kepada pengguna. 

Seperti ruang simpan barang di bawah panel tengah & arm rest, penghawa dingin penumpang belakang, susunan sistem infotainment, tempat letak telefon pintar dan bermacam lagi. Sunroof pula hanya terdapat pada varian Flagship X sahaja. 

Selain itu, ruang but yang lebih besar juga dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk barangan, sesuai untuk keluarga atau mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.

Dari segi kesenian, pada panel pintu terdapat corak benang putih yang direka bagi menambah karakter dan suasana premium kepada model ini. 

Harga yang Berpatutan

Walaupun Proton S70 menawarkan pelbagai ciri dan teknologi terkini, ia masih lagi dijual dalam lingkungan harga yang berpatutan. 

Bagi senarai harga, kami lampirkan di bawah ini mengikut versi S70:

Executive – RM73,800

Premium – RM79,800

Flagship – RM89,800

Flagship X – RM94,800

*Senarai harga tidak termasuk insurans

Kesimpulannya, model S70 adalah suatu nafas segar dan baru dari Proton kepada rakyat Malaysia. Pelbagai pendekatan yang cuba dibawa oleh Proton untuk memenuhi respon dan permintaan dari pengguna kereta di Malaysia. Justeru kami harap lebih ramai yang bangga dan memberi peluang kedua untuk Proton memenangi hati anda semula.

Baca PROTON X50 Terima Naik Taraf, Harga Kekal

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.


Posted

in

, ,

by

Comments

Leave a Reply