Hukum Hentikan Solat Untuk Jawab Panggilan Telefon Yang Penting

Hukum hentikan solat untuk jawab panggilan telefon penting

Situasi hari ini kebanyakan dari kita seakan tidak boleh ‘berpisah’ dengan telefon bimbit. Ia sentiasa dibawa ke mana-mana termasuklah ketika hendak solat hingga mengganggu tumpuan sewaktu menghadap Allah.

Malah ada yang sanggup menghentikan solat kerana mahu menjawab panggilan daripada orang yang penting tanpa rasa bersalah, sedangkan perbuatan ini dilarang oleh Allah SWT.

Penjelasan tentang perkara ini dibuat oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hukum batalkan solat untuk jawab telefon

Allah SWT melarang umat Islam untuk sengaja membatalkan amalannya dengan sengaja tanpa apa-apa sebab yang mengharuskannya untuk melakukan demikian. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!(Surah Muhammad: 33)

Dalam hal ini, para ulama’ membezakan hal keadaan orang yang ingin menghentikan solat dengan melihat dari sudut sama ada solat tersebut merupakan solat fardhu ataupun solat sunat, serta sama ada ia disebabkan oleh uzur syar’ie ataupun bukan.

Jika sekiranya solat tersebut merupakan solat fardhu, maka haram hukumnya bagi seseorang tersebut dengan tanpa uzur syar’ie yang membolehkannya membatalkan solatnya tersebut berdasarkan ayat yang disebutkan di atas.

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa:
قَطْعُ العِبَادَةِ الوَاجِبَةِ بَعْد الشُّرُوعِ فِيهَا بِلَا مَسُوغٌ شَرْعِي غَيْر جَائِز بِاتِّفَاقِ الفُقَهَاءِ؛ لِأَن قَطَعَهَا بِلَا مَسُوغٍ شَرْعِي عَبَثٌ يَتَنَافى مَعَ حُرْمَةِ العِبَادَةِ

Maksudnya: Membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat. (Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34:51)

Diharus hanya jika keadaan yang mendesak dan kecemasan

Walau bagaimanapun jika disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak dan keadaan yang mendesak dan kecemasan seperti menyelamatkan diri sendiri atau orang lain daripada bahaya contohnya, maka ia diharuskan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:
الضَّرُورَةُ تُبِيحُ االمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.

Manakala, jika sekiranya seseorang itu sedang mendirikan solat sunat, maka hal keadaan ini adalah lebih ringan berbanding solat fardhu, sama seperti jika seseorang itu berpuasa sunat.

Para ulama’ memberikan kelonggaran dalam keadaan seperti ini dengan mengharuskan untuk seseorang itu membatalkan solat atau puasanya disebabkan oleh keperluan. Perkara ini disebutkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya Tuhfat al-Muhtaj, bahawa:

وَمَن تَلَبَّسَ بِصَومٍ تَطَوُّعٍ أو صَلَاةٍ أَو غَيْرِهِمَا مِن التَطَوُّعَات إِلّا النُّسُك، فَلَهُ قَطْعُهُمَا، لِلخَبَرِ الصَّحِيح: الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيرُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ” وَقِيسَ بِهِ الصَّلَاة وَغَيرِهَا،فقوله تعالى:{وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ} مَحَلُّهُ فِي الفَرْضِ

Maksudnya: Barangsiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadith sahih, “Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika sekiranya dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.” Justeru itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman Allah SWT, Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu, merujuk kepada ibadah yang fardhu. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3:459-460)

Di samping itu juga, Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk mendirikan solat dalam keadaan khusyuk dan tenang. Allah SWT berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Justeru dapatlah difahami bahawa kita dituntut untuk khusyuk di dalam solat dengan cara memberi fokus kepada solat tersebut dan tidak mencampur-adukkannya dengan urusan lain dari hal keduniaan.

Justeru, kita hendaklah memberikan fokus dan tumpuan yang sepenuhnya ketika menunaikan solat dan menghindarkan segala gangguan yang boleh menyebabkan konsentrasi terganggu seperti bunyi telefon, televisyen dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika seseorang itu sedang mendirikan solat fardhu, maka tidak boleh untuk dia membatalkan solatnya kecuali jika terdapat hal kecemasan dan darurat seperti menyelamatkan nyawa yang berada di dalam bahaya atau harta benda yang berharga.

Oleh itu, dalam hal ini, sekiranya panggilan telefon yang diterima tersebut dirasakan merupakan sesuatu kecemasan dan darurat, maka dibolehkan untuk membatalkan solat untuk menjawabnya.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya seseorang mendirikan solat sunat, maka boleh untuk dia menghentikan solatnya untuk perkara-perkara yang penting. Namun, adalah sebaik-baiknya menyempurnakan solat tersebut terlebih dahulu sebelum melakukan pekerjaan penting tersebut supaya dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply