Hentikan buli, penganiayaan terhadap orang lain

BAIK buli berbentuk fizikal mahupun mental, kedua-dua penganiayaan seumpama itu benar-benar bukan budaya Islam. -Foto: Canva

APABILA Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh tujuh tahun lalu, ramai menzahirkan rasa lega dengan hukuman setimpal itu.

Kematian tragis Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang pernah menggemparkan negara pada 2017 itu terbela.

Tidak terbayang penderitaan ditanggung mangsa apabila dipukul beramai-ramai oleh 20 hingga 30 pelajar menggunakan objek seperti seterika wap, getah paip, tali pinggang dan penyangkut baju sebelum menemui Sang Pencipta dua minggu kemudian.

Situasi itu jelas memperlihatkan perbuatan buli yang nyata dan memberikan implikasi besar hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Ketika ditanya tentang perbuatan buli menurut perspektif Islam, pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, ia sama dengan penganiayaan kepada orang lain yang jelas dilarang oleh Islam.

PU FAIZ

Ia sebagaimana dinyatakan jelas menerusi firman ALLAH SWT: “Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat: 11)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Jelas PU Faiz, terdapat dua jenis buli iaitu secara fizikal seperti memukul dan menumbuk.

Kedua, buli dalam bentuk mental misalnya menghina tubuh badan seseorang dengan mencaci maki sebarang perkara berkaitan maruah seseorang.

Baik berbentuk fizikal mahupun mental, tegas beliau, penganiayaan seumpama itu benar-benar bukan budaya Islam.

PERBUATAN buli yang bersulam dengan pelbagai kutukan boleh membawa kemurungan, rasa rendah diri dan memberi tekanan kepada individu yang ‘diserang’. -Foto: Canva

“Islam begitu keras menegah perbuatan membuli. Banyak ayat al-Quran dan hadis melarang kita daripada mengeluarkan perkataan keji, mencaci maki dan menyelar.

“Apatah lagi buli dalam bentuk mental. Walaupun mungkin kita mengeji tubuh badan orang dengan mengatakan dia gemuk atau busuk dan sebagainya yang tidak meninggalkan luka pada tubuhnya, tetapi hatinya telah dilukai.

“Ya, luka tubuh badan itu adakalanya sembuh tanpa meninggalkan kesan parut. Namun begitu, luka dalam hati ini tiada parutnya dan kadangkala sukar untuk sembuh. Itu bahayanya,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus sebelum ini.

Ketahuilah bahawa perbuatan membuli akan dituntut pada hari akhirat kelak, ungkapnya.

“Sekiranya kita pernah pukul kucing dulu, jika tidak bertaubat, ia akan dihisab di akhirat nanti. Si bulus ini akan dihidupkan semula kelak dan membalas kembali pukulan yang kita lakukan padanya.

“Jika melibatkan kucing pun sudah begitu, inikan pula membabitkan manusia yang lagi lebih mulia. Ingatlah, dosa manusia dengan manusia lain tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT sehinggalah seseorang itu dimaafkan oleh individu yang dianiaya tadi,” terangnya.

Justeru, PU Faiz mengingatkan agar kita tidak bertindak penuh emosi sehingga menghukum orang lain dengan perasaan amarah membuak-buak di luar kewarasan fikiran.

“Al-Quran mengajar kita untuk bersikap tabayyun (menyelidik terlebih dahulu) apabila mendengar suatu berita.

“Kemudian Islam mengajar kita mencari jalan dengan ketenangan supaya apa jua perkataan ditaip mahupun perbuatan dilakukan tidak sampai menyebabkan kita menghukum, memaki hamun atau paling teruk sehingga boleh memukul orang lain iaitu mengundang kepada perbuatan buli,” titipnya.

Dalam pada itu, penceramah tersebut turut mengingatkan masyarakat agar tidak menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan menerusi ‘pintu teknologi’.

Pintu teknologi dimaksudkan adalah perbuatan buli di alam maya.

Beliau menyifatkan, zaman teknologi maklumat yang direntasi kini sebagai pintu kemaksiatan, kebaikan dan fitnah yang terbuka luas.

Ia hanya dibezakan oleh tindak-tanduk kita yang mencorakkan ‘pintu-pintu’ berkenaan.

PERBUATAN membuli sama dengan dengan penganiayaan kepada orang lain yang jelas dilarang oleh Islam. -Foto: Canva

“Misalnya, pintu kebaikan terbuka luas jika kita gunakan media sosial untuk membuat pahala seperti melakukan tazkirah dan mengajak orang kepada kebaikan.

“Jika sebaliknya pula, ia akan membuka luas pintu kejahatan contohnya berkongsi dan tularkan berita tanpa disemak terlebih dahulu hingga ia hangat diperkatakan warga siber. Walhal, boleh jadi perkara yang disebarkan itu mungkin benar atau fitnah.

“Begitu juga pintu fitnah jika terdapat orang yang mengajar suatu ilmu, tetapi menyebabkan kekeliruan kepada orang lain. Perkara yang tidak sepatutnya disebut di khalayak ramai, tetapi dirakam dan ‘divideokan’ serta dimuat naik di media sosial hingga menimbulkan pertelagahan antara para ilmuan dan orang awam,” katanya.

Beliau mengingatkan, perbuatan buli yang bersulam dengan pelbagai kutukan boleh membawa kemurungan, rasa rendah diri dan memberi tekanan kepada individu yang ‘diserang’.

“Ingatlah, sesiapa yang menjebakkan dirinya untuk membuli (di media sosial), ia akan menambah saham dosa mereka. Apatah lagi jika individu dibulinya tertekan sehingga meninggal dunia,” tegasnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply