Terbaru, anak pencuci bangunan merupakan salah seorang daripada 70 pelajar cemerlang di Pulau Pinang yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan pada 23 Julai, hari ini.
Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi (20) berkata, selepas melihat kegigihan ibunya, Mardiah Ismail (47) yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan menjadi perangsang untuknya mengubah nasib keluarga.
Menurutnya, dia bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh (48) yang merupakan seorang pekerja kilang meninggal dunia secara mengejut sejak empat tahun lalu.
“Selepas ayah meninggal dunia (tahun 2020), barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik berusia 18 tahun”
“Mak juga selalu berpesan yang saya adalah harapan keluarga, jadi saya perlu berusaha memperbaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh. Jadi saya mahu hadiahkan keputusan cemerlang STPM hari ini kepada mak yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaan saya”
Tambahnya, “Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa pelajaran mampu mengubah nasib kami”.
Amsyar juga berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru, dan tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen dan hanya menumpukan perhatian di dalam kelas.
Sementara itu, tujuh (7) lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023.
Sumber: Kosmo
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.