Benarkah Tabiat Tonton Video L*cah Akan Gelapkan Hati Selama 44 Hari?

Tabiat menonton video lucah menerusi alat peranti dalam kalangan remaja dan orang dewasa seringkali akan berubah menjadi satu ketagihan yang sukar untuk dihentikan.

Dari sudut kerohanian pula, wujud beberapa pertanyaan berhubung tabiat ini. Antaranya termasuklah sama ada hati seseorang individu yang sering mencari dan melayari laman sesawang mahupun aplikasi yang menawarkan kandungan lucah akan digelapkan oleh Tuhan?

Berikut adalah pertanyaan yang pernah diajukan dan jawapan yang diberikan oleh Mufti Selangor berhubung hal ini.

Soalan:

Saya ingin bertanya tentang status pertanyaan ini: “Tengok video lucah? 44 hari Allah akan gelapkan hati kita dan tidak mendapat cahaya hidayah darinya.” Sekian, terima kasih.

Jawapan daripada pihak Mufti Selangor menerusi kolum eMusykil:

Merujuk kepada persoalan saudara, pertamanya, pertanyaan tersebut sekadar peringatan atau nasihat yang boleh diambil pengajaran.

Perbuatan melihat video lucah adalah haram dan berdosa serta merosakkan akhlak sebagai seorang Muslim.

Firman Allah SWT; Maksudnya :  “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah an-Nuur : 30)

Pelakunya hendaklah bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Kedua, apa-apa dosa yang dilakukan oleh setiap Muslim sama ada di internet atau di mana-mana jua, pelakunya hendaklah segera bertaubat sebelum terlambat. Berusaha untuk menjadi seorang mukmin yang bertaqwa dan berakhlak dalam menjalani kehidupan mengikut garis panduan Islam.

Sentiasa bermuhasaba dan jauhkan dari melakukan dosa. Begitu juga apa-apa post, share yang dilakukan di media seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan seumpamanya hendaklah segera dipadam dan mohon maaf pada semua pihak. Sebaiknya tutup akaun tersebut agar tidak menjadi fitnah ke atas mereka yang telah bertaubat.

Seterusnya, jangan mudah menyebarkan apa-apa pertanyaan yang tidak pasti kesahihannya. Ia juga boleh mengundang dosa dan menjadi kesalahan di sisi undang-undang komunikasi di media.

*

Makanya, korang boleh mengambil beberapa poin utama daripada jawapan yang dikongsikan oleh pejabat Mufti Selangor ini.

Ketagihan terhadap kandungan lucah sama ada foto, video mahupun audio adalah diharamkan di sisi agama. Perkongsian semula menerusi kaedah reshare, repost dan cross post di bahagian stories mahupun laman feed utama di akaun kita atau di akaun kendalian kita juga salah sekiranya ia boleh mengundang fitnah atau menaikkan keghairahan pada pihak lain.

Moga-moga kita semua boleh menjauhkan diri daripada terjerumus dalam isu ketagihan kandungan lucah.

Sumber Foto Hiasan: pexels.com (Michael Burrows)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok  rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Posted

in

, ,

by

Comments

Leave a Reply