Suami Jennifer Coppen, Yitta Dali Wassink, meninggal dunia pada usia 22 tahun akibat kemalangan jalan raya. Kejadian malang itu berlaku sekitar pukul 2 pagi pada 18 Julai 2024 di Sunset Road, Kabupaten Badung, Bali.
Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, suami kepada pelakon filem dan sinetron Indonesia itu mengalami kemalangan seorang diri apabila dia gagal mengawal motosikal jenis Kawasaki yang ditunggangnya lalu melanggar penghadang jalan.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Rumah Sakit BIMC Dewa Ruci, Kuta namun tidak dapat diselamatkan. Menurut polis, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Meninjau ke akaun Instagarm Jennifer, menerusi satu hantaran di Instagram Stories dia berkongsi momen kenangan sebelum suaminya meninggal dunia.
Menyatakan kekesalan yang timbul di hati, pelakon filem Akad ini tidak menyangka ciuman dan pelukan yang diberikan suaminya saat mahu keluar rumah adalah momen terakhir mereka berdua.
“Petang sebelum kamu pergi, aku terlebih dahulu bergerak untuk berjumpa kawan dan kamu pula mahu ke tempat kerja. Walau pun sudah saling berpeluk, kamu sekali lagi berlari dan kejar aku untuk peluk dan cium aku lagi.
“Dan aku tidak sedar itu akan menjadi pelukan dan ciuman terakhir. Jika aku tahu, aku akan pelukmu lebih lama. Pagi sebelum kepergian kamu, kamu sangat manja, padahal yang biasa jadi manja itu aku.
“Sampai aku bergurau, dan menolak kamu kenapa masih terus memeluk aku. Aku menyesal kerana berkata begitu kerana aku tidak tahu Dali, aku tidak tahu itu akan jadi pelukan terakhir kamu,” luah ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Imbas kembali, Jennifer,23, berkahwin dengan Yitta Dali Wassink pada 10 Oktober 2023 mengikut perkahwinan agama Islam. Pasangan ini memiliki seorang cahaya mata perempuan berusia 10 bulan yang diberi nama Kamari Sky Wassink.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.