Usaha keras cari matlamat hidup bawa Adam Corrie kepada Islam

ADAM CORRIE LEE

SETIAP orang diberi pilihan untuk menjalani kehidupan yang diingini masing-masing. Dalam memilih jalan tersebut, kita semua tidak akan lari daripada fitrah iaitu kehidupan beragama.

Begitu juga yang dialami selebriti dan pendakwah, Adam Corrie Lee Abdullah ketika berkongsi pengalamannya sebelum memeluk Islam pada program Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf di Jalan Puchong, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Adam, dia terlebih dahulu berhijrah atau berpindah ke Kuala Lumpur dari kampungnya di Taiping, Perak dengan tujuan mencari kerja.

ADAM CORRIE (kanan) bersama Ustaz Haslin (kiri) dan hos, Azman Mohd Nawi pada program Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf di masjid berkenaan baru-baru ini.

“Sebelum saya memeluk Islam, setiap jam 7 pagi saya disuruh oleh emak dan ayah untuk ‘bakar colok’. Saya lakukannya setiap hari namun saya tidak tahu apa maksud di sebalik perbuatan itu.

“Bila sampai suatu ketika, saya berfikir apa matlamat hidup sebenarnya? Dan ketika saya bekerja sebagai penari, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah pergi kerja di hotel dan kelab malam pada waktu malam dan balik ke rumah ketika subuh itu kehidupan yang saya nak jalani?

“Soalan itu sering bermain-main di dalam kepala namun masih tiada jawapannya pada ketika itu,” ceritanya.

Berdoa diberikan petunjuk

Jelasnya, dia kemudian terdetik di hati ingin mengetahui mengenai agama Islam dan sering berdoa agar ditunjukkan jalan yang benar.

“Selepas pulang dari kerja, saya sering mendengar azan Subuh dan kadangkala saya ikut sama azan.

“Bagaimanapun, ketika saya mahu berdoa, rakan-rakan yang beragama Islam melarang saya berdoa disebabkan saya bukan beragama Islam.

“Kata mereka, kau bukan Islam, mana boleh berdoa? Lagilah saya pening, fikir cara bagaimana nak tahu lebih pasal Islam ini,” katanya.

Menurutnya lagi, dia sering berdoa ‘jika Islam itu agamaku, berilah petunjuk’ sebelum doanya dimakbulkan ALLAH.

Hidup Adam Corrie berubah selepas dibawa berjumpa dengan seorang ustaz pada 2007 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur untuk mengetahui Islam dengan lebih mendalam.

Katanya, jika di hati ada sedikit niat untuk mendalami Islam, pasti ALLAH SWT akan menghantar seseorang yang boleh membimbing ke arah itu.

Cabaran selepas memeluk Islam

Mengulas lanjut mengenai penghijrahannya untuk memeluk Islam, selebriti yang masyhur dengan lakonan gengster itu menjelaskan ia perkara yang sangat mencabar dalam hidupnya.

PARA JEMAAH khusyuk mendengar perkongsian yang disampaikan oleh Adam Corrie dan Ustaz Haslin.

“Selepas saya mengumumkan kepada orang ramai saya memeluk Islam, terus tiada ‘job’. Selama setahun saya menganggur tiada pendapatan. Ketika itu saya cuma fikir anak dan isteri sahaja.

“Apa yang saya fikirkan betul-betul terjadi. Ramai yang kecam saya masuk Islam. Ketika itu saya tiada kerja dan kawan-kawan mula menjauhkan diri. Itulah cabaran yang saya terpaksa tempuhi apabila memilih Islam.

“Bagaimanapun saya terus bersabar dan akhirnya saya tidak kisah apa yang orang nak kata. Apa yang penting saya tetap dengan Islam. Isteri sering menyokong dan berada di sisi saya,” ujarnya.

Istiqamah bukan jalan mudah

Menjawab persoalan bagaimana terus kekal menjadi Muslim yang baik walaupun dikecam, Adam menjelaskan, jalan istiqamah bukanlah perkara yang mudah.

“Macam-macam orang kata kepada saya dari dulu sampai sekarang. Ada yang kata saya nak jadi ustaz pula selepas tiada tawaran berlakon.

“Saya nak pesan, kita semua ini adalah pelakon dan kita semua adalah ‘ustaz’ yang wajib berdakwah kepada orang lain.

“Saya buat ini bukan hendak riak tapi saya mencari bekalan sebanyak mungkin untuk diri dan keluarga. Saya nak bawa anak-anak dan isteri ke syurga, itu sahaja,” jelasnya.

MUSLIMAT juga turut serta dalam menimbal ilmu daripada Ustaz Haslin dan Adam Corrie dalam program Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus.

Ceritanya lagi, sepanjang 17 tahun di dalam agama Islam, kira-kira 30 orang menerima hidayah ALLAH dan agama Islam selepas dia menyampaikan dakwah kepada mereka.

“Pedulikan apa orang nak kata. Apa yang penting kita sebagai umat Islam melaksanakan ajaran agama dengan sebaiknya dan tidak lupa berdakwah. “Teruskan berdoa, berusaha, istiqamah dan tawakal kepada ALLAH,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply