Hijrah setiap hari sepanjang tahun

HIJRAH tempat atau hijrah makani bermaksud berhijrah ke suatu tempat untuk mengubah diri menjadi lebih baik. Foto CANVA

MEMASUKI minggu kedua Muharam 1446 Hijrah, ternyata masjid dan surau serta organisasi lain masih menyambut kedatangan bulan mulia itu.

Lihatlah di mana-mana pun terpampang poster dan kain rentang termasuk di media sosial mempromosikan sambutan Awal Muharam atau Maal Hijrah itu dengan pelbagai program diadakan.

Sinar Islam Plus turut tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan sambutan tahun baharu Islam itu apabila menganjurkan program Jaulah Mahabbah dengan kerjasama Masjid Abdul Rahman Bin Auf.

Forum Maal Hijrah yang diadakan di masjid berkenaan di Jalan Puchong, Kuala Lumpur itu mendapat sambutan baik penduduk setempat dan sekitarnya dengan kehadiran kira-kira 250 jemaah pada malam itu.

USTAZ HASLIN

Program menjemput dua ahli panel terkenal iaitu pendakwah, Ustaz Haslin Baharim dan selebriti serta pendakwah, Adam Corrie Lee dan dihoskan oleh Azman Mohd Nawi.

Dalam perkongsiannya, Ustaz Haslin terlebih dahulu menjelaskan Muharam merupakan antara empat bulan haram atau bulan yang dihormati dalam Islam sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-36 surah at-Taubah:

“Sesungguhnya jumlah bulan di sisi ALLAH ialah 12 bulan (sebagaimana) dalam ketentuan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketentuan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalamnya (keempat-empat bulan itu).”

Menurutnya, Ibnu Kathir ketika menukilkan kata-kata Ibnu Abbas RA, beliau menjelaskan jangan menzalimi diri menurut ayat tersebut adalah jangan melakukan dosa pada keempat-empat bulan itu iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.

“Sangat eloklah bulan Muharam disebut sebagai bulan haram dan bulan hijrah memandangkan pada ketika itu kita telah pun melaksanakan ibadah haji, selain ibadah korban.

“Semua ibadah itu membuatkan kita bersih bagai baru dilahirkan,” ulasnya.

Hijrah setiap hari, bukan setahun sekali

Tambahnya, banyak definisi diberikan kepada perkataan hijrah itu dan antaranya ialah berubah menjadi lebih baik, bertaubat, muhasabah diri, jihad dan pembaharuan niat.

HIJRAH diri sendiri terlebih dahulu pada setiap hari sepanjang tahun. Foto CANVA

Beliau turut berkongsi satu hadis Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh ALLAH.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

“Kita kena faham dan hadam konsep hijrah ini bukanlah setahun sekali, bahkan hijrah ini wajib dilakukan setiap hari.

“Ini kerana manusia melakukan dosa setiap hari. Ada yang tertengok, terlihat, tercakap dan terbuat dosa serta maksiat. Oleh sebab itu hijrah perlu dibuat setiap hari,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hijrah, umat Islam wajib melakukan hijrah setiap hari dan bersiap sedia berjuang untuk menjadi yang terbaik kerana musuh tidak pernah berhenti untuk menjatuhkan kita.

“Hijrah umat Islam tidak akan terhenti dan terhapus sehinggalah ruang taubat itu sendiri terhenti apabila terbitnya matahari pada Barat iaitu tibanya hari kiamat,” ulasnya panjang.

Menurut Ustaz Haslin, empat hijrah yang perlu dilakukan umat Islam setiap hari dan sepanjang tahun ialah:

1 – Hijrah tempat

Hijrah tempat atau hijrah makani bermaksud berhijrah ke suatu tempat untuk mengubah diri menjadi lebih baik seperti yang dilakukan kebanyakan kita yang tinggal di kampung berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki halal.

2 – Hijrah sikap

Hijrah sikap atau nafsiyyah membawa erti muhasabah diri dan meninggalkan segala perasaan tidak baik di dalam diri. Sebagai contoh sikap dengki dengan orang, tidak puas hati dan berbangga dengan diri sendiri.

3 – Hijrah perbuatan

Hijrah perbuatan atau amaliyyah bermaksud meninggalkan perbuatan maksiat dan tidak berfaedah. Contoh mudah adalah pergaulan dalam rumah tangga, suami berbuat baik terhadap isteri dan sebaliknya seperti mana hadis Rasulullah SAW:

“Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

4 – Hijrah ekonomi atau pendapatan

Hijrah ekonomi atau iqtisodiyyah bermaksud mengubah ekonomi diri dan keluarga ke arah lebih baik.

Hijrah diri sendiri terlebih dahulu

Ustaz Haslin menjelaskan, ALLAH SWT bukan melihat kepada kejayaan sesuatu hijrah yang dilakukan kita, sebaliknya DIA melihat kepada niat dan azam serta usaha yang dilaksanakan.

USTAZ HASLIN (duduk atas kerusi kiri) bersama Adam Corrie (duduk atas kerusi kanan) pada Jaulah Mahabbah Sinar Islam Plus di Masjid Abdul Rahman Bin Auf baru-baru ini.

Menjelaskan lebih terperinci konsep hijrah, beliau berkata, hijrah atau perubahan itu perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.

Beliau merujuk kepada hadis Rasulullah SAW iaitu: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

“Hijrah perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. Perkara lain usah dikhuatiri kerana apabila diri kita masing-masing telah berubah, perkara lain bahkan negara pun akan berubah kemudiannya,” jelasnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply