Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 akan berlangsung esok, menyaksikan Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar secara rasminya ditabalkan sebagai ketua negara, manakala Raja Zarith Sofiah binti Sultan Idris Shah sebagai Raja Permaisuri Agong.
Menjelang istiadat pertabalan diraja itu, MASKULIN kongsikan beberapa maklumat menarik yang dipetik dari perkongsian di laman Instagram @officialsultanibrahim mengenai busana yang akan dipakai oleh Sultan Ibrahim sepanjang istiadat berlangsung.
Muskat
Muskat (Sumber foto: Instagram @officialsultanibrahim)
Seperti yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, baginda akan memakai Muskat merupakan pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong. Namanya diambil sempena kota Muskat iaitu ibu negara Oman yang merupakan tempat berasalnya rekaan pakaian kebesaran diraja itu.
Diperbuat daripada kain sakhlat berwarna hitam, ia turut dihiasi dengan corak awan larat dan bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya yang ditekat menggunakan benang emas.
Mess Kit
Mess Kit (Sumber foto: Instagram @officialsultanibrahim)
Berbeza dengan istiadat pertabalan, pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika berangkat ke Majlis Santapan Diraja ialah Mess Kit.
Pemakaian Mess Kit dipakai buat pertama kalinya secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-13 iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu.
Reka bentuk dan corak Mess Kit diolah berdasarkan Muskat.
Tengkolok Diraja
Tengkolok Diraja (Sumber foto: Tangkap layar dari perkongsian video di laman Instagram @officialsultanibrahim)
Ketika istiadat pertabalan, baginda akan memakai Tengkolok Diraja dikenali sebagai Dendam Tak Sudah seperti yang dipakai Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Pending Diraja
Pending Diraja (Sumber foto: Instagram @officialsultanibrahim)
Pending Diraja merupakan alat kebesaran yang dipakai bersama bengkung. Diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah permata delima serta tertera Jata Negara di bahagian tengahnya.
Samping Diraja
Samping Diraja (Sumber foto: Instagram @officialsultanibrahim)
Samping yang diperbuat dari kain songket akan dipakai bersama bengkung dan Pending Diraja.
Yang menariknya, ini merupakan kali pertama motif tradisional negeri Johor iaitu dedaun gambir dan lada hitam digunakan sebagai motif utama pada Samping Diraja, Tengkolok Diraja dan juga bengkung.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 akan berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu, 20 Julai 2024, diikuti dengan Majlis Santapan Diraja pada hari yang sama.
Sumber: Instagram @officialsultanibrahim
BACA: Sultan Ibrahim Selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17, Ini 10 Fakta Menarik Baginda
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.