Dewi Remaja Adrina Umum ‘Rehat’ 2 tahun Sebagai Pelakon-“Tamat Saja Latihan Siswazah, Saya Fokus Kembali Sebagai Anak Seni”

Pelakon meningkat naik, Adrina Kamaruddin memaklumkan dirinya telah mengambil keputusan untuk berehat seketika dalam industri seni tanah air kerana ingin memberi fokus terlebih dahulu terhadap latihan siswazah sebagai seorang doktor.

Menerusi laporan media tempatan, bekas peserta Dewi Remaja 2023 itu bakal berehat selama dua tahun.

Dia bagaimanpun memberitahu dirinya akan kembali untuk bersaing di dalam industri seni sebaik sahaja tempoh latihan itu selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Fokus Belajar Tapi Jangan Sampai Abaikan Kesihatan Mental” -Pesanan Dewi Adrina Buat Pelajar SPM

“Saya akan berehat sebentar daripada industri seni bermula Oktober ini kerana saya perlu selesaikan ‘housemanship’ atau latihan siswazah sebagai seorang doktor. Saya kena kembali menjalankan tugas sebagai doktor.

“Pada masa sama, saya akan cuba mengisi masa dengan apa sahaja tawaran dalam industri seni. Selepas dua tahun housemanship, saya akan kembali fokus seratus peratus sebagai anak seni,” katanya.

Dalam pada itu, Adrina turut memberitahu dirinya telah mempunyai perancangan untuk membuka klinik sendiri dan pada masa sama boleh memberikan tumpuan untuk bergelar pelakon.

Dia juga memaklumkan dirinya juga sudah membuat persiapan rapi dari segi fizikal dan mental untuk bagi latihan siswazah berkenaan.

“Saya akui memang penat dan enam tahun saya menuntut ilmu dalam bidang perubatan. Namun, bila saya sudah tamat housemanship, saya boleh merancang untuk buka klinik sendiri dan boleh bekerja ikut masa sendiri. Pada masa sama, saya boleh menceburi bidang seni juga.

“Saya akui housemanship merupakan satu tempoh yang sangat sukar dan mencabar. Seperti semua sedia maklum, ada yang akan berhenti separuh jalan. Sama juga seperti nak mula belajar dahulu, ramai yang kata bidang perubatan ini sangat susah.

“Ramai akan berhenti tapi disebabkan minat, saya lulus sekali jalan sahaja. Saya sudah setkan di kepala, apa jadi sekalipun, saya tetap kena habiskan housemanship ini dalam masa dua tahun kerana saya nak kejar semula impian dalam industri seni,” tuturnya.

Mengakui agak risau sekiranya namanya bakal tenggelam, pelakon berusia 25 tahun ini tetap percaya dengan rezeki yang telah diaturkan oleh yang Maha Esa buatnya.

“Saya sebenarnya agak risau dan sedih juga. Namun, saya berpegang kepada rezeki. Saya selesaikan housmanship kerana sudah belajar lama dan nak bahagiakan ibu bapa saya.

“Jadi, saya harap bila saya buat semua ini, Allah akan tolong murahkan rezeki saya bila saya kembali ke dalam industri semula,” ujarnya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Comments

Leave a Reply