Hukum Jual Beli Kucing, Terutama Yang Mahal. Ada Yang Kata Ia Dilarang

Hari ini membeli dan jual kucing terutama baka kucing yang cantik seakan menjadi perkara biasa. Meskipun harganya mahal namun ramai yang sanggup membelinya.

Tapi apa hukumnya dalam Islam, adakah ia dibolehkan kerana ada pandangan yang mengatakan jual beli kucing ini adalah dilarang.

Penjelasan tentang perkara ini ada dibuat oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin.

Menurut beliau ulama fekah berkhilaf pendapat tentang hal ini. Terdapat sejumlah ulama yang melarangnya, sementara majoriti ulama membenarkan menjual atau membeli kucing.

Ini seperti kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarah hadis larangan menjual kucing:

وَأَمَّا النَّهْيُ عَنْ ثَمَنِ السِّنَّوْرِ فَهُوَ محمول على أنه لا ينفع أو عَلَى أَنَّهُ نَهْيُ تَنْزِيهٍ حَتَّى يَعْتَادَ النَّاسُ هِبَتَهُ وَإِعَارَتَهُ وَالسَّمَاحَةَ بِهِ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَإِنْ كَانَ مِمَّا يَنْفَعُ وَبَاعَهُ صَحَّ الْبَيْعُ وَكَانَ ثَمَنُهُ حَلَالًا هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ العلماء كافة الا ما حكى بن الْمُنْذِرِ وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَطَاوُسٍ وَمُجَاهِدٍ وَجَابِرِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ وَاحْتَجُّوا بِالْحَدِيثِ وَأَجَابَ الْجُمْهُورُ عَنْهُ بِأَنَّهُ مَحْمُولٌ عَلَى مَا ذَكَرْنَاهُ فَهَذَا هُوَ الْجَوَابُ الْمُعْتَمَدُ

“Adapun larangan (memakan) harga (jualan) kucing, maka itu atas andaian ia tidak bermanfaat, atau larangan tanzih (makruh tidak haram) agar orang ramai terbiasa dengan memberi dan meminjamkan kucing serta bertolak ansur dengan hal itu seperti yang menjadi kebiasaan.

Sekiranya ia termasuk dalam yang memberikan manfaat lalu menjualnya, maka sah jual beli dan harganya halal. Inilah mazhab kita dan mazhab ulama keseluruhannya, kecuali apa yang Ibn Munzir nyatakan, dan daripada Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid iaitu tidak harus jual belinya (kucing). Mereka berhujah dengan hadis ini. Jumhur menjawab bahawa larangan itu atas andaian yang kami sebutkan tadi. Inilah jawapan yang dipegang”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/233. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Perbincangan dua pandangan 
Pertama: Pendapat yang mengharamkan jual beli kucing.

Ini adalah pendapat tokoh-tokoh seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi tadi. Turut menyokong pendapat ini al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dengan menyatakan:
وَهُوَ الصَّوَابُ لِصِحَّةِ الْحَدِيثِ بِذَلِكَ، وَعَدَمِ مَا يُعَارِضُهُ، فَوَجَبَ الْقَوْلُ بِهِ

“Inilah pendapat yang benar disebabkan sahnya hadis berkaitan hal ini dan tiada dalil lain yang menyanggahinya. Maka, wajib berpegang dengan pendapat ini”. (5/685. Beirut: Maktabah al-Manar al-Islamiyyah).

Alasan utama mereka ialah hadis berkaitan larangan tersebut di mana Jabir bin Abdillah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w melarang hal itu:

عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ، قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا، عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ؟ قَالَ: «زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

Daripada Abu Zubair, dia berkata: Aku bertanya Jabir mengenai harga anjing dan kucing liar”. Kata Jabir: “Nabi s.a.w melarang perkara itu”. (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dll).

Kedua: pendapat yang membolehkan menjual beli kucing.

Ini pendapat jumhur (majoriti) ulama seperti yang disebutkan tadi. Dalam berpegang dengan pendapat ini, mereka (jumhur) berkhilaf pula dalam mengulas hadis larangan tersebut.

Ada yang berpendapat hadis itu daif. Ini apa yang disebut oleh al-Khattabi dan Ibn ‘Abd al-Barr. Namun, pendapat ini ditolak al-Imam al-Nawawi sendiri, dengan katanya:

وَأَمَّا ما ذكره الخطابى وأبو عمرو بْنُ عَبْدِ الْبَرِّ مِنْ أَنَّ الْحَدِيثَ فِي النَّهْيِ عَنْهُ ضَعِيفٌ فَلَيْسَ كَمَا قَالَا بَلِ الحديث صحيح رواه مسلم وغيره

“Adapun apa yang al-Khattabi dan Abu ‘Amr bin ‘Abd al-Barr menyebutnya bahawa hadis larangan tersebut daif, (maka jawapannya) hadis itu bukan seperti yang mereka kata. Bahkan hadis itu sahih, riwayat Muslim dan selainnya”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/234. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Ada yang berpendapat larangan itu jika kucing itu liar dan tidak dapat diserahkan semasa pembelian. Ada pula yang berpendapat hadis ini di awal Islam, kemudian dimansukhkan. Ada juga yang berpendapat ia sekadar larangan makruh bukan haram.
Ada pula yang berpendapat larangan itu jika kucing itu bukan milik yang menjual. Ada yang berpendapat sebagai galakan untuk manusia bertolak ansur dalam pemberian kucing seperti yang menjadi adat kebiasaan. Ada yang menyatakan -seperti yang al-Nawawi sebut tadi- jika ada manfaat, maka boleh dijual beli. Kucing yang ada manfaat seperti menghalau tikus, maka boleh dijual beli. Larangan hanya jika tiada manfaat.

Sesiapa yang berpegang kepada pendapat jumhur ulama, maka dibolehkan menjual dan membeli kucing selagi ada nilai manfaat. Jika sudah tiada nilai, maka haram. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak pula berhujah dengan hadis yang jelas larangan tersebut. Cumanya, jumhur ulama berbeza dalam mentakwilkan sebab larangan.

Justeru, jika seseorang mengelakkan diri dari terlibat dengan jual beli kucing maka itu lebih baik kerana selamat dari daerah pertikaian hukum tersebut. Apatah lagi jika harganya begitu mahal, maka ia mendekati unsur pembaziran. Kita tahu agama kita melarang pembaziran.

Sumber: Mufti Perlis

Comments

Leave a Reply