Khutbah sebagai media iklan dakwah

USTAZ MUSTAFAR (dua dari kanan) dan Namanzee (dua dari kiri) dalam bual bicara Sinar Al-Jumu’ah bertajuk Media Quran tinggikan kalam ALLAH. Sinar Al-Jumu’ah disiarkan setiap Jumaat minggu pertama setiap bulan.

PENYAMPAIAN khutbah setiap hari Jumaat sebahagiannya dilihat tidak begitu berkesan dalam menyampaikan ilmu dan ajaran agama kepada jemaah yang hadir.

Justeru isi kandungan yang baik serta penyampaian yang berkesan perlu dilakukan khatib agar para jemaah dapat mengambil ilmu dan manfaat sekali gus mengamalkannya.

Begitulah luahan Penasihat Syariah Kakitangan Felcra Berhad, Ustaz Mustafar Mohd Suki ketika menjadi ahli panel pada program bual bicara Sinar Al-Jumu’ah yang bertajuk ‘Media Quran tinggikan kalam ALLAH’ anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

USTAZ MUSTAFAR

Beliau menjelaskan khutbah Jumaat merupakan satu bentuk iklan yang cukup dahsyat dan menjadi medium utama dakwah pada zaman Rasulullah SAW.

“Oleh sebab itu dalam ayat kesembilan surah al-Jumu’ah ALLAH mewajibkan orang-orang beriman khusus kepada lelaki dan ketua keluarga untuk datang mendengar khutbah.

“Apabila dikumandangkan azan dan khatib berada di atas mimbar, para ulama semua mazhab sepakat semua jenis urusan jual beli dihentikan dan hendaklah fokus mendengar khutbah yang merupakan sebahagian daripada solat Jumaat.

“Sampai bila perlu hentikan urusan jual beli? Jawabnya sampai selesai solat. Apabila habis solat pergilah bertebaran melakukan urusan masing-masing tapi kamu perlu ingat lagi ALLAH selepas itu. Maksudnya kena ingat balik hukum hakam-NYA dalam urusan seharian,” jelasnya.

Rukun khutbah sebagai ‘content’ media sosial

Hurainya lagi, sekiranya direnungkan semua lima rukun khutbah, ia merupakan iklan atau dakwah yang cukup baik untuk disampaikan.

“Lima rukun khutbah ialah pujian kepada ALLAH, peringatan agar bertakwa kepada ALLAH, membaca ayat al-Quran, memperkenalkan Rasulullah atau selawat dan berdoa kepada kaum Muslimin.

ISI kandungan dan penyampaian yang berkesan memainkan peranan penting buat khatib agar ilmu dapat disampaikan kepada jemaah dan diamalkan. Foto PEXELS

“Rukun ini bukan sahaja wajib dipenuhi ketika menyampaikan khutbah, malah ia merupakan suatu kewajipan kepada semua orang untuk menyampaikannya sebagai dakwah kepada orang lain,” jelasnya.

Menurutnya, rukun khutbah itulah ‘content’ atau kandungan kepada kita semua umat Islam sebagai dakwah untuk disampaikan termasuk melalui media sosial masing-masing.

Tambah Ustaz Mustafar lagi, antara elemen yang perlu ditambah baik dalam sesi penyampaian khutbah adalah khatib bukan sekadar membaca teks khutbah semata-mata.

“Khatib perlu mengambil isi-isi penting untuk disampaikan dan cukup satu atau dua ayat al-Quran selain disampaikan pengajaran dan tindakan yang perlu kita lakukan daripadanya.

“Selain itu, penyampaian khutbah juga perlu ada intonasi suara pasang surut dan turun naiknya. Apa yang penting bagaimana khatib mengulas ayat al-Quran supaya ia memberi kesan yang cukup besar kepada jemaah.

“Khutbah Jumaat ini kita nak bagi ilmu dan ajak jemaah supaya beramal dengan ilmu yang disampaikan khatib,” jelasnya lagi.

Pengulangan isi khutbah sebelum, selepas penyampaian

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris yang juga ahli panel program menjelaskan, khutbah juga memerlukan elemen pengulangan sebelum dan selepas ia disampaikan.

NAMANZEE

“Baik melalui media konvensional atau media sosial, perlu ada pengulangan yang kerap dilaksanakan.

“Sebagai contoh boleh dilihat sesuatu episod drama dibuat, pengulangan iklan dan keratan drama yang kerap membuatkan penontonnya tertunggu-tunggu untuk melihatnya pada setiap episod. Begitulah juga perlu dilakukan kepada isi khutbah yang akan disampaikan kepada jemaah, perlu ada pengulangan sebelum dan selepasnya setiap hari,” hurainya.

Mengulas lanjut mengenai media sosial, Namanzee berkata, sekarang ini boleh dikatakan semua orang mempunyai media sosial dan kitalah yang menjadi petugas media kepada media sosial masing-masing.

“Letusan teknologi hari ini menjadikan kita sebagai petugas media diri sendiri dan peranan kita untuk mengamalkan isi kandungan dalam surah al-Jumu’ah iaitu mengingati ALLAH.

SETIAP Muslim menjadi petugas media kepada diri sendiri dan wajib menyampaikan dakwah melaluinya. Foto PEXELS

“Selain itu, kewajipan kita juga untuk mengambil tugas rasul dengan menyebarkan isi kandungan khutbah selain inti pati kitab al-Quran dan hikmah (sunnah Rasulullah SAW),” katanya.

Katanya lagi, sebagai umat Islam, tugas menyebarkan dakwah sebenarnya bukan tertakluk kepada ustaz dan pendakwah semata-mata, malah semua Muslim perlu terlibat sama.

“Ini kerana setiap kita mempunyai sasaran atau rakan-rakan yang berlainan dan usaha dakwah ini sekiranya dilakukan semua orang, capaian dakwah akan menjadi lebih besar.

“Begitu juga dengan pengamal media di setiap agensi media. Sekiranya pengamal media yang Muslim ini memainkan peranan masing-masing untuk berdakwah dan mengajak manusia kepada Islam, capaian dakwah itu akan lebih meluas kerana setiap agensi media mempunyai target dan pengikut tersendiri,” hurainya.

Bual bicara dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif ARBA, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan manakala Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid pula bertindak sebagai Qari.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply