Asal usul kalendar Hijriah

TAKWIM Hijrah yang juga dikenali sebagai kalendar Hijriah itu mula diperkenalkan secara rasmi oleh khalifah kedua Islam, Sayidina Umar Ibnu Al-Khattab pada tahun 638 Masihi.

UMAT Islam baharu sahaja menyambut tahun baharu Maal Hijrah 1446 Hijrah pada Ahad lalu.

Ia menjadi peristiwa penting dalam sejarah Islam sempena memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Menyingkap sejarahnya, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan, takwim Hijrah yang juga dikenali sebagai kalendar Hijriah itu mula diperkenalkan secara rasmi oleh khalifah kedua Islam, Sayidina Umar Ibnu Al-Khattab pada tahun 638 Masihi.

Kalendar itu wujud selepas 17 tahun peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW itu.

“Inisiatif itu diambil bagi menyediakan satu sistem kalendar yang berasaskan peristiwa hijrah sebagai titik permulaan,” katanya yang memetik sumber icrjounal.org bertajuk The Significance of Hijrah in Islam menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

PERISTIWA hijrah dipilih sebagai titik permulaan kerana ia menandakan perubahan penting dalam sejarah Islam iaitu dari keadaan umat Islam yang tertindas di Makkah kepada pembentukan negara Islam yang berdaulat dan stabil di Madinah. -Foto: Canva

Menerusi perkongsian itu, takwim tersebut bermula pada 622 Masihi yang mana ia merupakan tahun peristiwa hijrah berlaku.

“Tarikh permulaan kalendar ini ialah 1 Muharam. Dari segi pengiraan tahun dalam takwim Hijrah, ia berdasarkan tahun lunar (bulan) yang mana setiap tahun mengandungi kira-kira 354 atau 355 hari, berbeza dengan tahun solar yang digunakan dalam kalendar Gregorian

“Kalendar Hijrah mempunyai 12 bulan lunar iaitu Muharam, Safar, Rabiluawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

“Setiap bulan bermula dengan melihat anak bulan dan ini menyebabkan setiap bulan mempunyai 29 atau 30 hari,” katanya.

Dalam hantaran sama, Jabatan Mufti Negeri Sembilan turut menyatakan mengapa peristiwa hijrah dipilih sebagai titik permulaan.

Katanya, ia menandakan perubahan penting dalam sejarah Islam iaitu dari keadaan umat Islam yang tertindas di Makkah kepada pembentukan negara Islam yang berdaulat dan stabil di Madinah.

“Bahkan, kalendar ini membantu dalam penyelarasan tarikh untuk urusan pentadbiran, penetapan tarikh-tarikh penting dalam agama Islam seperti bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha,” kongsinya.

Barangkali ada yang tertanya-tanya Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah ketika hijrah pada bulan Rabiulawal, tetapi tahun Hijriah pula dimulakan dengan bulan Muharam.

Menurut pendakwah, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar, ini kerana azam dan tekad Rasulullah SAW untuk berhijrah muncul pada bulan Muharam.

USTAZ WADI ANNUAR

“Atas alasan inilah mengapa Sayidina Umar memilih untuk memulakan tahun Hijrah pada bulan Muharam. Demikian kata Ibnu Hajar Al-Asqalani,” tulisnya menerusi hantaran di laman sosial platform X miliknya baru-baru ini.

Memetik laman web idrissulaiman.com, Ibnu Hajar ada menyebut beberapa riwayat yang menceritakan penyebab yang mendorong Umar untuk menetapkan kalendar Islam.

Menurut satu riwayat, Abu Musa Al-Asy’ari mengadu kepada Umar tentang surat-surat yang datang kepadanya tanpa tarikh.

“Lalu khalifah kedua Islam itu mengarahkan supaya satu perbincangan mengenainya diadakan.

“Dalam riwayat lain, disebut bahawa sehelai kertas perjanjian telah dikemukakan kepada Sayidina Umar bertarikh pada bulan Syaaban tanpa menyatakan tahun hingga menimbulkan kemusykilan sama ada ia merujuk tahun sebelumnya, semasa atau berikutnya.

“Maka akhirnya beliau mengarahkan supaya ditetapkan sebuah kalendar untuk kegunaan kaum Muslimin,” katanya.

Sebelum wujudnya kalendar Hijriah, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, masyarakat Arab hanya menamakan tahun-tahun tersebut dengan peristiwa-peristiwa penting atau luar biasa yang terjadi ketika era tersebut.

DR ZULKIFLI

Butiran contohnya seperti berikut:

1. Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail kira-kira tahun 1855 sebelum Miladiah.

2. Runtuhnya Empangan Ma’rib pada tahun 120 sebelum Miladiah.

3. Kewafatan Ka’ab bin Lu’ay, datuk kepada Nabi Muhammad SAW yang ketujuk pada tahun 50 sebelum Miladiah.

4. Tahun Uzur pada 461 Miladiah kerana manusia pada tahun berkenaan bertelagah sesama mereka.

5. Tahun Gajah iaitu apabila tentera bergajah Abrahah menyerang Makkah pada tahun 571 Miladiah.

WALAUPUN Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah ketika hijrah pada bulan Rabiulawal, tetapi tahun Hijriah pula dimulakan dengan bulan Muharam kerana azam dan tekad Rasulullah SAW untuk berhijrah muncul pada bulan Muharam. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

6. Berlaku Peperangan Fujjar selama empat tahun bermula 586 Miladiah. Para kabilah Arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram yang mana dilarang berbuat demikian. Oleh sebab itu, ia dinamakan peperangan Fujjar kerana bangsa Arab melanggar larangan pada bulan haram.

7. Tahun Azan dinamakan ketika berlakunya peristiwa hijrah kerana ketika itu disyariatkan azan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply