Enggan Jadi Hamba Yang ‘Kufur Nikmat’, Punca Tya Arifin Nekad..

Kadangkala bila hidup terlihat serba sempurna, itulah waktu dimana kita sering alpa dan semakin menjauh dari yang maha esa! Itulah juga apa yang dialami oleh usahawanita yang juga pengasas Mutyara, Tya Arifin.

Menurutnya, meski dikurniakan segalanya dalam kehidupan, namun dia tetap mempunyai ruang kosong dalam diri yang sering meminta untuk diisi.

Justeru, tidak mahu menjadi hambaNya yang kufur nikmat, ibu kepada dua anak ini mendedahkan, dia mula memikirkan secara mendalam soal rohani selepas melihat perubahan suami yang kian mendalami ilmu agama Islam.

 

Tak Mahu Kufur Nikmat

“Sebab terbesar saya memutuskan untuk menutup aurat ialah saya mahu berhijrah. Alhamdulillah Allah telah berikan saya pelbagai nikmat, keluarga, anak-anak dan perniagaan yang berjaya walau berhijrah dari Palembang ke Malaysia.

“Apa lagi yang Allah tidak kurniakan? Saya tidak mahu jadi wanita dan hamba yang kufur nikmat.

“Allah telah berikan lebih daripada apa yang saya minta, tapi sentiasa ada satu yang kurang. Saya berjaya menolong orang melalui perniagaan namun saya tidak mampu menolong diri sendiri.

“Dalam rumah tangga ada masa kita diuji dan ia menguatkan saya untuk berubah. Suami pula semakin dekat dengan ajaran Islam dan berubah menjadi lebih baik. Jadi tidak adil jika saya tidak mahu berubah.

“Allah sentiasa ada bersama saya di saat saya memerlukan pertolongan dan Allah berikan yang terbaik untuk saya. Sampai satu masa saya terfikir, Allah begitu baik dengan saya.

“Bila difikirkan ada satu titik yang belum dibuat iaitu saya tidak menjadi seorang Muslimah yang sempurna. Saya tidak menjadi hamba Allah yang baik,” ulasnya panjang lebar.

Jangan Lengahkan ‘Niat’ Untuk Buat Sesuatu Kebaikan 

Tegasnya, jika terbit niat untuk berbuat baik dan memakai tudung, cuba segerakan niat.

“Sebelum ini saya fikirkan manusia yang bertudung dan menutup aurat ialah perkara biasa. Saya fikirkan untuk berhijab, nanti dahulu, akan datang hidayah.

“Saya mahu baikkan hati dahulu. Tapi sekarang saya fikirkan, alangkah baiknya andai saya cepatkan keputusan ini dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penampilan Terkini Tya Ariffin Curi Perhatian Ramai, Manisnya Bila Berhijab!

“Saya juga sedar saya tidak mahu suami menanggung dosa dan Prof Muhaya juga banyak menasihati saya mengenainya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada orang sekeliling. Hijrah ini kerana saya dan Allah, Allah terlalu baik dengan saya. Saya tidak mahu menjadi contoh yang tidak baik kepada pengikut.

“Saya mahu menjadi ibu yang baik kepada anak-anak, isteri yang baik untuk suami dan contoh yang baik buat peminat kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya lagi.

Tiga Tips Untuk Wanita Yang Mahu Berubah

Akur akan trend selebriti membuka hijab, jelasnya dia perlu mengawal diri sendiri agar dapat terus istiqamah dengan perubahan.

“Dalam dunia ini ada dua, perkara yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal. Kita boleh mengawal diri sendiri dan tidak mampu mengawal orang lain.

“Jadi sangat penting untuk saya tahu, saya mampu mengawal diri sendiri. Jika kita mahu fikir mengenai orang tidak sukakan kita, kita akan penat.

“Penghijrahan saya satu proses yang sangat panjang, selama 25 tahun baru saya mendapat hidayah dan tidak semudah itu untuk terus berubah.

Dia turut berkongsi tiga tips kepada wanita lain yang turut punyai rasa untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Pertama berubah kerana Allah, kedua kena cepat membuat tindakan, jika mahu memakai tudung, terus segerakan. Dan ketiga, yakin kepada rezeki yang Allah tetapkan,” titip Tya.

Untuk rekod, tatkala berkongsi kisah hijrahnya, pelakon dan usahawan Tya Arifin merasa sebak kerana pada mulanya dia langsung tiada perancangan untuk berhijab, namun Februari 2020 merupakan titik perubahan terindah dalam kehidupanya!

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan Rahsia Lagi! Anna Jobling Dedah Wajah Berseri-Seri dan Lebih Bertenaga, Walaupun Sibuk.

+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 Foto : Instagram Tya Arifin & Youtube Tya Arifin


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply