Isteri Sedih, Suami Sanggup Tak Mengaku Anak Sebab Tak Mahu Bayar Nafkah

Isteri sedih, suami sanggup tak mengaku anak sebab tak mahu bayar nafkah. Perceraian mungkin menjadi jalan terakhir yang perlu diambil oleh pasangan suami. Bagaimanapun tanggungjawab suami terhadap anak-anak yang dilahirkan dari perkahwinan tersebut tidak terhenti begitu sahaja.

Isteri Sedih, Suami Sanggup Tak Mengaku Anak Sebab Tak Mahu Bayar Nafkah

Suami masih mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak-anak walaupun sudah bercerai. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anak walaupun sudah bercerai adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan.

Dalam Islam, ia adalah satu amanah yang perlu ditunaikan. Dari sudut undang-undang di Malaysia, ia adalah satu keperluan yang ditetapkan oleh peraturan dan undang-undang.

Berikut perkongsian daripada Tuan Fahmi Ramli Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor.

Baca artikel lain: Mak Mentua Jangan Sibuk Nak Ambil Tahu Berapa Nafkah Menantu Dapat, Banyak Atau Sikit Itu Hal Anak Menantu

Dalam banyak-banyak kes tuntutan nafkah anak, majoriti suami menolak tuntutan. Alasan yang popular ialah terlalu banyak komitmen sehingga tidak mampu untuk membayar nafkah anak setelah menceraikan isterinya.

Lain pula bagi kes ini yang mana seorang bapa sanggup menafikan nasab anaknya sendiri untuk mengelakkan diri dari menanggung nafkah anak dengan isteri lama. Tambahan pula, suami itu sudah berkahwin lain dan telah mempunyai 3 orang anak dengan isteri yang baru.

Dalam kes ini, si isteri memohon kepada mahkamah untuk menetapkan nafkah anak berjumlah RM200 sebulan sekaligus memohon untuk mahkamah perintahkan suami membayar tunggakkan nafkah anak yang tidak pernah ditanggung sejak lahir sehingga anak tersebut berumur 13 tahun yang mengumpul jumlah sebanyak RM31,000.

Terkejut dengan jumlah tuntutan si isteri, suami dengan tidak rasa bersalah mendakwa bahawa anak tersebut bukanlah anak dari nasabnya. Ini kerana mereka hanya tinggal bersama selama 2 bulan sahaja dalam 2 tahun tempoh perkahwinan mereka.

Suami juga mengaku tidak membayar nafkah anak tersebut kerana tidak tahu akan kelahiran itu. Suami menyatakan bahawa dia tahu akan kelahiran anak tersebut setelah isteri memohon fasakh. Suami juga menegaskan isterinya mengaku tidak hamil apabila ditanya oleh pegawai kaunseling semasa mereka dalam tempoh perceraian.

Giliran isteri pula untuk memberi keterangan tentang dakwaan suami mengenai status anak mereka. Isteri menjelaskan bahawa dia tidak menuntut nafkah anak tersebut dahulu kerana sepanjang tempoh perkahwinan suaminya tidak pernah memberikan perhatian terhadap dirinya dan terus mengabaikan dirinya seolah-olah suaminya tidak pernah mempunyai isteri.

Nafkah diri pun suami tak pernah bagi apatah lagi nafkah anak fikir isterinya. Dengan membawa hati dan perasaan yang tidak dijaga ini si isteri mengambil keputusan untuk tidak memberitahu apa-apa perkembangan tentang dirinya kepada suaminya.

Sekarang barulah isteri memohon nafkah anak kerana memikirkan masa depan anak yang lebih cerah dan ingin anak berjaya seperti anak-anak orang lain.

Apakah status anak tersebut?
Syarak telah menggariskan cara penetapan nasab dengan merujuk kepada hadis nabi iaitu “ Anak yang lahir dari hamparan (isteri) yang sah berhak disabitkan nasab keturunan”.

Syarat penetapan nasab
1. Suami mampu untuk menghamilkan isteri
2. Anak tersebut mestilah lahir selepas 6 bulan qamariah dari tarikh akad nikah atau masa kemungkinan suami dan isteri Bersama
3. Suami dan isteri hendaklah bertemu selepas akad nikah

Berdasarkan penetapan syarak ini, segala syarat telah dipenuhi yang mana anak tersebut sememangnya lahir setelah 11 bulan dari Tarikh akad nikah. Suami hanya berpegang dengan pengakuan isteri bahawa dia tidak hamil Ketika ditanya oleh pegawai kaunseling.

Lagi artikel: Nafkah Isteri Anak-anak Suami Wajib Dahulukan, Barulah Ahli Keluarga Yang Lain

Apabila melihat kepada tarikh lahir anak tersebut rupanya isteri telah melahirkan anak terlebih dahulu sebelum sesi kaunseling tersebut. Maka, sememangnya isteri tidak hamil lah ketika ditanya oleh pegawai kaunseling tersebut.

Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa anak tersebut adalah anak kandung dan boleh dinasabkan kepada suami tersebut dan suami wajib membayar nafkah sebanyak RM200 setiap bulan kepada anak tersebut.

Kenapa suami itu tidak boleh meli’an isterinya?
Suami boleh meli’an isteri dengan kadar segera setelah mengetahui lahirnya anak tersebut. Jika terdapat keuzuran suami melewatkan li’an tersebut apabila suami mendapat berita lahirnya anak pada waktu malam dan menangguhkan sehingga pagi hari.

Dalam kes ini, suami melwatkan li’an sehingga anak tersebut sudah mencapai usia 13 tahun. Itu pun sebab isterinya nak tuntut nafkah. Maka, hak penafian nasab tersebut terbatal.

Suami juga tidak ada apa-apa keuzuran syarie utk menafikan nasab dengan kadar segera. Alasannya hanya kerana beliau seorang awam yang jahil tentang perkara ini. Malangnya alasan ini tidak diterima mahkamah keranan Islam menuntut dan mewajibkan kita untuk belajar tentang ilmu agama.

Maka, dakwaan suami bahawa anak itu bukan anaknya sudah tidak relevan kerana hak suami telah terbatal dengan melewat-lewatkan penafian sehingga 13 tahun.

Kesimpulannya tidak perlulah sampai nak menafikan nasab sendiri hanya kerana nak lari daripada tanggungjawab menunaikan nafkah. Ingatlah, kalau di dunia kita mengelak, maka di akhirat itulah hutang yang akan ditanggung oleh kita.

Sumber: Fahmi Ramli Peguam Syarie Perundangan Islam yang beramal di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, KL, Selangor.

Baca artikel lain: Datuk Red Sah Cerai Isteri Pertama, Bekas Isteri Tak Tuntut Nafkah Sama Seperti Adira Suhaimi

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

“Memang aku dah gila mak..hitam dah mak hidup aku..” – Kamariah Md Yatim
Ditinggalkan suami tanpa sesen kerana tidak cantik. Ibu anak 8 ini hampir mer4cun anak-anaknya sendiri kerana ketiadaan duit untuk membeli makanan.
Nantikan Vodcast Sembang Wanita Xtra Bersama Usahawan Daun Pandan pada 15 Mei 2024,8pm.

 

Comments

Leave a Reply