Lelaki Filipina Meninggal Dunia Akibat Strok Selepas Video “Mukbang” Melahap Ayam Goreng

Seorang pencipta kandungan mukbang Filipina meninggal dunia selepas menyiarkan video melahap ayam goreng dan nasi putih, demikian lapor The New Paper.

Dongz Apatan, atau nama sebenarnya Manoy Apatan yang aktif berkongsi video mukbang menikmati makanan bersaiz hidangan besar di laman Facebooknya, disahkan meninggal dunia akibat serangan strok.

Dia yang berusia 38 tahun itu mempunyai lebih 457,000 pengikut di laman media sosial itu.

Foto: Manoy Apatan (Sumber: Facebook Dongz Apatan).

Manoy kali terakhir dilihat menerusi sebuah hantaran video pada 13 Jun, memaparkan sejumlah besar ayam digoreng di dalam kuali yang kemudiannya dimakan oleh Manoy bersama nasi putih.

Keesokan harinya, adik perempuannya Leah Apatan memaklumkan menerusi hantaran Facebook yang Manoy mengalami serangan jantung sekitar jam 3 petang dan dikejarkan ke hospital.

“Terdapat banyak komen mengatakan yang Manoy patut mati kerana dia tamakkan makanan, tetapi itu hanya sekadar kandungan,” kata Leah kepada media tempatan.

“Dia sebenarnya tidak makan banyak. Dia juga tidak menghabiskan hidangannya. Manoy tidak tamak, dia membantu orang lain,” tambah Leah.

Akibat Garam Berlebihan & Daging Setiap Hari

Doktor pakar jantung Tony Leachon memberitahu yang punca kematian Manoy adalah disebabkan strok hemoragik.

“Menurut doktor yang merawatnya di bilik kecemasan, dia mengalami pembekuan darah di otak. Ini bermakna tekanan darahnya meningkat dan saluran darah di otaknya pecah,” jelasnya.

“Ia berpunca daripada makanan bergaram tinggi dan pengambilan daging. Anda melakukannya setiap hari dan saluran darah anda di dalam otak akan tersumbat”.

Memetik portal Gleneagles Hospital, strok adalah seperti serangan jantung, tetapi strok menjejaskan saluran darah di otak dan bukannya jantung.

Strok hemoragik pula erlaku apabila salah satu saluran darah di otak pecah dan berdarah.

Keadaan ini kemudian menghalang sebahagian otak daripada menerima oksigen yang mencukupi dan menyebabkan kerosakan.

Strok hemoragik dikelaskan mengikut jenis darah yang menyebabkan kerosakan.

Jenis yang paling biasa ialah aneurisme yang berlaku apabila arteri di otak yang melemah atau pecah.

Sekadar makluman, mukbang merupakan istilah gabungan dua perkataan Bahasa Korea iaitu “meokneun” yang bermaksud makan dan “bangsong” yang bermaksud siaran.

Istilah itu merujuk kepada pencipta kandungan media sosial yang berkongsi video mereka menikmati makanan sambil beramah mesra dengan penonton.

Sumber: The New Paper, Gleneagles Hospital

BACA: Tular Remaja 15 Tahun Guna Steroid: Jangan Tergesa-Gesa, Badan Nak Pakai Lama – Hazim Sazali


Posted

in

, , , ,

by

Comments

Leave a Reply