Pelakon, Sadiq M.Jamil baru-baru ini teruja berkongsi pengalamannya berlakon bersama barisan pelakon siri terbaru X-Change seperti Datuk Rosyam Nor, Marissa Yasmin, Joey Leong, Hariz Hamdan, Arfie Shah dan sebagainya kerana sokongan yang diberikan sepanjang di set penggambaran amat baik dan membantu dirinya sebagai seorang pelakon baru.
Menurut Sadiq, itu merupakan satu pengalaman yang mahal buat dirinya kerana setiap barisan pelakon sangat pemurah dalam mencurahkan ilmu lakonan terutamanya para pelakon yang lebih senior.
“Setiap hari saya rasa sangat bersyukur sebab dapat lalui proses ini bersama dengan pelakon-pelakon yang hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Marissa Yasmin, Joey Leong, Hariz Hamdan dan Arfie Shah kerana semuanya sangat senang didekati dan pemurah dalam mencurahkan ilmu dengan mudah”
“Jadi walaupun pertama kali berlakon, saya rasa sangat mudah sebab dapat sokongan yang sangat baik dan kuat daripada para barisan pelakon X-Change terutama pelakon senior”
Sebelum ini, Sadiq pernah aktif di dalam teater persembahan dan menurutnya antara perbezaan berlakon teater dan di set penggambaran adalah seperti ruang lakon dan cara penyampaian dialog. Walaupun secara teknikalnya berbeza, tetapi ‘jiwa dan rasa’ dalam lakonan boleh diguna pakai untuk keduanya.
“Bila atas pentas, ruang lakon itu besar dan dalam satu tempat. Lain pula dengan berlakon on screen, kita ada dalam satu frame saja, kita tak boleh terkeluar atau terlebih daripada frame dan sebagainya”
“Selain daripada ruang lakon, cara nak sampaikan dialog, cara lontarkan dialog dan secara teknikalnya memang berbeza tapi jiwa dan rasa untuk lakonan itu dalam keduanya boleh diguna pakai”
Dalam pada itu, Sadiq yang juga merupakan cucu kepada Seniwati Negara, Datuk Sarimah Ahmad turut berkongsi kisah tentang bagaimana dia mula minat untuk menceburi bidang lakonan sejak kecil.
“Setakat ini kami tidak pernah lagi duduk bersama dan bercerita mengenai kerja (lakonan). Walau apapun, nenek saya sokong sahaja apa yang saya buat dan kerap beri kata-kata semangat”
“Kalau dulu, semasa umur 12 tahun saya pernah ikut nenek ke set penggambaran dan kerap tengok persiapannya sebagai seorang pelakon. Walaupun beliau tidak pernah ajar secara terus tapi saya selalu apply cara beliau berlakon berdasarkan pemerhatian saya selama ini”
Tambahnya, walaupun sebelum ini Datuk Sarimah dan bapanya M.Jamil lebih menggalakkan Sadiq untuk menceburi bidang lain tetapi dirinya lebih memilih bidang lakonan.
“Sejujurnya, pada awal saya menceburi bidang lakonan. Keluarga saya agak risau sedikit tapi saya sebenarnya saya dah mula berlakon teater sejak berusia 12 tahun. Pada masa itu, keluarga agak menolak dan lebih menggalakkan saya pilih bidang lain…”
“…tapi bila saya fikir kerja ini adalah sesuatu yang saya minat, dan saya ikhlaskan hati kenapa saya buat benda ini adalah untuk menceritakan dan berkongsi benda yang baik. Selain itu, saya tidak nampak ini merupakan benda yang salah, jadi saya gembira buat kerja lakonan ini”
Sekadar info, Sadiq M.Jamil bakal melakonkan watak Capik atau Angah di dalam siri terbaru Astro iaitu X-Change yang akan ditayangkan bermula 12 Julai ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.