Jangan Takut Beri Bantuan CPR Walau Tidak Mahir

Apabila anda melihat seseorang rebah dan tidak sedarkan diri dipercayai akibat serangan jantung, amat penting untuk segera memberikan bantuan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) segera tanpa mengira anda mahir melakukannya atau tidak.

Menurut perkongsian seorang doktor dan pempengaruh Dr Malar Santhi, anda tidak perlu risau disaman atau didakwa kerana salah melakukan CPR kerana ada perlindungan undang-undang bagi mereka yang bertindak ketika keadaan yang mengancam nyawa seseorang.

“Anda tidak boleh disaman ataupun didakwa sebab kononnya salah bagi CPR lah, ataupun bagi CPR sampai tulang rusuk dia patah lah.

“Tak perlu takut perkara-perkara sebegitu. Hanya takut pada pencipta yang akan soal anda satu hari nanti “kenapa tak buat apa-apa?”, “kenapa tengok sahaja?”, “kenapa tak jalankan tanggungjawab?”,” jelas Dr Malar menerusi sebuah hantaran video di laman media sosial nya.

@drmalarss SERANGAN JANTUNG boleh berlaku di mana mana sahaja, kepada sesiapa sahaja. Yang penting, rawatan yang betul, cepat dan tepat diberikan kepada mangsa. Untuk maklumat lanjut tentang kesihatan jantung, silalah jumpa doktor pakar jantung ye. Ni saya share link terus :https://www.columbiaasia.com/malaysia/doctors/?jhospital=Cheras&jspecialty=1066 #celotehdrmalar#columbiaasiacheras@Columbia Asia Malaysia ♬ original sound – CelotehDrMalar

Bagi Dr Malar, menjadi suatu tanggungjawab bagi seseorang yang hadir di sebelah mangsa untuk segera tampil memberikan bantuan.

“Ingat ya, mangsa itu bila tiba ajal dia, dia akan pergi jua tidak awal ataupun tidak lewat sesaat pun.

“Ya kita semua memang diingatkan untuk berdamai dengan takdir dan menerima takdir. Tapi janganlah berserah kepada takdir sebelum berusaha,” tegasnya yang mengulas video tular pemain badminton China yang rebah di gelanggang dan meninggal dunia ketika perlawanan.

“Sebelum buat apa-apa pun terus dah melopong berserah kepada takdir. Bagi saya, itu salah”.

Fokus Untuk Kembalikan Fungsi Jantung Mangsa

Walaupun anda tidak mahir atau takut melakukan tatacara CPR, Dr Malar menasihatkan agar anda mengabaikan perasaan itu.

Sebaliknya, anda hanya perlu menumpukan untuk memberikan tekanan CPR dengan harapan agar jantung mangsa boleh kembali berfungsi mengepam darah.

Apabila melihat seseorang rebah dan menggelepar, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memeriksa tindak balas mangsa.

Laungkan Dua Ayat Ini

Jika tiada sebarang tindak balas, Dr Malar menjelaskan ada dua ayat yang perlu anda laungkan segera iaitu “dapatkan bantuan” dan “bawa AED (Defibrilator Luaran Automatik)”.

Selepas melaungkan kedua ayat tersebut, anda sendiri perlu memulakan CPR segera walaupun anda sendiri tidak mahir melakukan tatacara keselamatan itu.

Anda hanya perlu meletakkan kedua tapak tangan anda yang saling bertindihan ke bahagian tengan dada mangsa dan terus menekan dada mangsa menggunakan tenaga dari bahu anda.

Foto: Tatacara CPR (Image by rawpixel.com on Freepik)

Penting untuk anda memastikan siku anda berada dalam kedudukan yang lurus agar tekanan dapat diberikan sekuat mungkin.

Jangan bimbang tindakan anda itu boleh menyakitkan mangsa atau mengakibatkan tulang rusuk mangsa patah.

Hal ini disebabkan mangsa sudah keadaan tidak sedar tanpa denyutan nadi maka mangsa tidak boleh merasakan sakit, jelas Dr Malar lagi.

Lakukan CPR Secara Bergilir

Selain itu, tatacara CPR juga perlu dilakukan secara bergilir-gilir kerana ia biasanya akan memenatkan anda selepas dua hingga tiga minit melakukan tatacara itu.

Maka sangat penting untuk memastikan ada orang lain disekeliling anda yang mampu untuk mengambil alih peranan anda agar CPR dapat dilakukan secara berterusan sehingga bantuan pihak profesional tiba.

Merujuk video tular saat pemain badminton China, Zhang Zhijie, 17, yang rebah di gelanggang, Dr Malar menjelaskan fasa serangan jantung yang dialami pemain badminton remaja itu.

Tubuh Zhijie dilihat menggelepar ketika rebah, dan ketika itu dia sedang berada dalam fasa Ventricular Fibrillation (VF) atau Pulseless Ventricular Tachycardia (pulseless VT).

“Rawatan terbaik pada ketika jantung berdegup macam ini adalah shock delivery. Tapi kalau tiada alat untuk memberikan shock pada ketika itu, kena mulakan CPR dengan segera”.

Foto: Tangkap layar video saat Zhang Zhijie rebah di gelanggang ketika perlawanan menentang pemain badminton dari Jepun.

Lakukan CPR Sebelum Mangsa Kaku

Jika mangsa tidak dirawat segera ketika keadaan jantungnya masih di fasa VF atau pulseless VT, jantung akan beralih ke fasa berikutnya iaitu fasa tanpa sebarang denyutan nadi, dikenali sebagai PEA ataupun Asystole.

“Kalau anda zoom dan tengok, lepas menggelepar itu badan dia macam kaku terus, dah masuk dalam fasa Asystole lah itu,” jelasnya.

Menurut Dr Malar, ada pelbagai punca yang boleh menyebabkan seseorang itu rebah dan menggelepar seperti Zhijie, antaranya ialah hipokalemia (kadar potassium terlalu rendah) ataupun hiperkalemia (kadar potassium terlalu tinggi).

“Dalam keadaan ini iaitu tengah main badminton, hipokalemia sangat-sangat mungkin boleh berlaku akibat daripada berpeluh yang melampau”.

Selain itu, hipotermia (badan terlalu sejuk), hipoglisemia (gula terlalu rendah) juga boleh menjadi antara punca seseorang itu rebah.

Foto: Zhang Zhijie (kiri), dan penghormatan terakhir dari atlet China (kanan). Sumber: The Borneo Post & News.com.au

Berdasarkan pengalaman peribadi Dr Malar, punca yang paling kerap berlaku dikalangan pemain badminton ialah disebabkan oleh garam galian tidak normal (electrolyte imbalance).

Namun walau apa pun puncanya, Dr Malar menegaskan perkara yang lebih penting apabila berlakunya kejadian sebegitu ialah tindakan yang betul, tepat dan cepat.

Terdahulu, Zhang Zijie rebah di gelanggang ketika perlawanan menentang Kazuma Kawano dari Jepun di Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, demikian lapor Harian Metro.

Sumber: Tiktok @drmalarss

BACA: Senaman Berat Waktu Malam Boleh Jadi Punca Serangan Jantung : Pakar Perubatan

 


Posted

in

, , ,

by

Comments

Leave a Reply