Panigale Mega Gathering
Baru-baru ini, Ducati Malaysia bersama para pemilik Ducati Panigale dari seluruh Malaysia telah berjaya menganjurkan acara himpunan terbesar. Ia dinamakan Panigale Kingdom Mega Gathering.
Acara yang penuh gemilang ini menyaksikan rekod dunia baharu yang berjaya dicatat. Lebih daripada 310 Ducati Panigale berkumpul untuk menjayakannya. Sekaligus mengatasi rekod terdahulu pada tahun 2011 yang mencatatkan 150 Panigale sahaja.
Perhimpunan tahun ini bukan sahaja berjaya mencipta sejarah baharu. Namun turut memperkukuhkan lagi semangat persaudaraan dan minat mendalam terhadap model Panigale dalam kalangan pemiliknya.
Titik Pertemuan
Acara tersebut bermula dari bilik pameran Ducati KL, di mana konvoi terdiri daripada 310 Panigale itu bergerak secara bersama ke Nilai Spring.
Sepanjang perjalanan, konvoi tersebut menjadi tumpuan ramai, dengan deruan enjin yang menggamatkan suasana dan menjadi simbol perpaduan komuniti Panigale.
Kelab Panigale Kingdom, yang terkenal dengan persahabatan yang erat dan minat mendalam terhadap jenama Ducati, memainkan peranan penting dalam kejayaan pencapaian tahun ini.
Kelab ini tidak hanya berfungsi sebagai platform untuk para pemilik Ducati berinteraksi, tetapi juga sebagai medium untuk mereka berkongsi pengalaman, pengetahuan, dan mengukuhkan ikatan silaturahim.
Kehadiran mereka dalam acara ini adalah bukti nyata betapa kukuhnya komuniti Panigale di Malaysia.
Flag-Off!
Upacara flag-off tahun ini turut menampilkan beberapa orang penting dalam dunia permotoran. Antaranya ialah Dennis Michael, Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Siddhartha Varma, Pengarah Pemasaran Asia Pasifik Ducati Motor Thailand, serta wira kebanggaan negara dalam MotoGP, WSBK, dan ARRC iaitu Hafizh Syahrin.
Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan lagi acara, tetapi juga memberikan inspirasi kepada para pemilik Ducati Panigale untuk terus bersemangat dan berbangga dengan jenama yang mereka cintai.
Dennis Michael dalam ucapannya menyatakan rasa bangga dan kagumnya terhadap komitmen dan dedikasi para pemilik Panigale di Malaysia. “Melihat begitu ramai pemilik Panigale berkumpul hari ini adalah sesuatu yang luar biasa. Ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan jenama Ducati, tetapi juga semangat kekeluargaan dan persahabatan yang terjalin dalam komuniti ini,” katanya.
Hafizh Syahrin, sebagai ikon dalam dunia permotoran, turut menyatakan kegembiraannya dapat bersama-sama dengan pemilik Panigale. “Melihat semangat dan keghairahan para pemilik Panigale di Malaysia benar-benar menginspirasikan. Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada komuniti ini,” katanya.
Rekod Baru Ducati Malaysia
Dengan kejayaan ini, Panigale Kingdom Mega Gathering tidak hanya mencipta rekod dunia baharu, tetapi juga menetapkan satu penanda aras baharu untuk acara-acara kustom dan perhimpunan motosikal di masa hadapan.
Ia adalah bukti nyata bahawa semangat dan minat mendalam terhadap motosikal mampu menyatukan individu dari pelbagai latar belakang untuk meraikan kecintaan mereka terhadap jenama Ducati.
Dari Careta
Baca Marc Marquez Bakal Sertai Ducati Factory Team Musim 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.