Filem Netflix “Maharaj”: Penampilan Sulung Junaid Khan, Anak Lelaki Aamir Khan

Bagi pencinta filem yang sering menonton di laman penstriman Netflix, pastinya tidak asing dengan filem Bollywood berjudul “Maharaj” yang menduduki carta 10 teratas sejak akhir-akhir ini.

Tahukah anda, watak utama Karsan Das Muji di filem Maharaj itu dilakonkan oleh Junaid Khan iaitu anak kepada pelakon terkenal Bollywood, Aamir Khan?

Lebih menarik, filem terbitan Netflix Originals itu merupakan penampilan sulung Junaid dalam bidang lakonan.

Foto: Junaid Khan dan ayahnya Aamir Khan (Sumber: Outlook India)

Memetik laporan NDTV, Junaid memaklumkan yang pengarah filem itu, Siddharth Malhotra yang menginginkan Junaid untuk berlakon di filemnya

Junaid yang sememangnya aktif dalam lakonan pentas sejak 2017 memberitahu yang Siddharth memanggilnya untuk datang ujibakat bagi filem tersebut.

Membandingkan diri dengan ayahnya, Junaid tidak melihat dirinya sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan seperti ayahnya.

Sebaliknya, dia mempunyai cara tersendiri dalam membentuk kerjaya lakonannya iaitu dengan menikmati setiap perjalanan.

Adaptasi Kes Mahkamah Sebenar

Filem “Maharaj” merupakan adaptasi daripada kes mahkamah sebenar yang dibicarakan di Mahkamah Agung Bombay pada tahun 1862, dikenali sebagai Kes Maharaj Libel 1862.

Menerusi filem itu, Junaid memegang watak sebagai Karsan Das Muji, seorang wartawan akhbar muda dengan sifat ingin tahu yang mendalam sejak kecil.

Filem ini berkisar mengenai perjuangan Karsan untuk mendedahkan salah laku seorangan pemimpin agama di sebuah kuil, Jadunat Maharaj yang menjadikan gadis muda setempat sebagai pemuas nafsu syahwatnya atas dasar ‘khidmat suci’ kepada agama.

Foto: Watak Jadunat Maharaj lakonan Jaideep Alawat. (Sumber: The Direct)

Kegiatan Maharaj itu dilakukan sejak bertahun lamanya dan dianggap sebagai satu budaya yang sudah diterima Masyarakat, sehinggakan para suami rela menyerahkan isteri mereka untuk ‘berkhidmat’.

Lebih menjijikkan, ‘khidmat suci’ itu juga boleh ditonton oleh orang ramai menerusi tingkap bilik Maharaj dengan sejumlah bayaran.

Karsan mula menyedari perbuatan terkutuk itu apabila dia menyaksikan tunangnya sendiri, Kishori menjadi salah seorang gadis yang dipilih untuk ‘berkhidmat’ kepada Maharaj beberapa hari sebelum perkahwinan mereka.

Foto: Watak Kishori lakonan Shalini Pandey (Sumber: The Direct)

Kecewa dengan perkara itu, Karsan memutuskan pertunangannya dengan Kishori.

Kishori yang kemudian sedar dengan kesilapannya terlalu taat pada ajaran Maharaj secara membabi buta akhirnya nekad untuk membunuh diri.

Kematian Kishori membakar semangat Karsan untuk mendedahkan perbuatan terkutuk Maharaj agar tiada gadis lain yang akan menjadi mangsa tipu daya Maharaj.

Sumber: NDTV, The Direct, Sportskeeda

BACA: Safuwan Baharudin: Impian & Cabaran Mengetuai Skuad Gergasi Merah 


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply