Tak Dapat Restu Dalam Hubungan Jadi Alasan Nikah di Siam

Ramai pasangan yang tak dapat restu dalam hubungan akhirnya memilih untuk bernikah di selatan Thailand.

Namun, kebanyakan mereka berdepan masalah apabila pernikahan itu tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia.

Tak Dapat Restu Dalam Hubungan

Di TikTok, tular kisah pasangan tempatan yang berdepan masalah gara-gara gagal mendaftarkan pernikahan selepas 28 tahun mereka disatukan. Sepatutnya mereka yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan pernikahan selepas kembali ke Malaysia.

“Bahananya nikah Siam tak daftar. Nangis tak berlagu. Lepas 28 tahun baru rasa nak daftar di Malaysia.

“Tu pun sebab anak nak nikah. Sekali proses, nikah tak sah. Sijil nikah pun palsu.

Sebab tu penting daftar nikah di Malaysia selepas nikah di Thailand” demikian tulisan di akaun TikTok itu.

Perkongsian berkenaan menerima pelbagai reaksi netizen termasuklah mereka yang pernah berkahwin di selatan Thai.

“Saya tak bangga bercerita kisah ini. Cuma nak tolong mereka yang pilih jalan salah macam saya.”

Tak Boleh Tuntut Wang Selepas Kematian Suami

Menurut seorang lagi wanita, dia dan suaminya tidak pernah mendaftarkan pernikahan di Malaysia selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Kedegilan itu akhirnya membawa padah apabila wanita itu berdepan kesukaran untuk membuat tuntutan wang selepas kematian suami.

“Saya salah seorang yang kahwin di Narathiwat. Kahwin sampai 15 tahun, tak pernah daftar di Malaysia. Alhamdulillah, anak semua ada surat beranak.

“Tapi bila arwah suami meninggal, saya tak dapat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah. Saya kena pergi Narathiwat untuk dapatkan surat nikah.

“Saya juga kena ke Songkhla untuk dapatkan pengesahan nikah. Saya pergi uruskan seorang diri. Dalam masa dua minggu, dua kali saya keluar masuk Thailand,” kongsi wanita itu pula.

Selepas pulang ke Malaysia, wanita itu berkata dia sekali lagi perlu menunggu untuk menjalani proses mahkamah sebelum masalahnya dapat diselesaikan.

“Kos saya ke Thailand RM1,200. Kemudian ada denda rayuan. Masa depan hakim, saya mengaku salah dan janji tak akan ulangi lagi.”

Kena Denda Duit

Perkahwinan yang tidak didaftarkan mengikut undang-undang akan membawa masalah di kemudian hari.

“Tuan hakim memang akan marah masa tu. Bising sikit mulutnya. Saya tak bangga bercerita kisah ini. Cuma nak tolong mereka yang pilih jalan salah macam saya.

“Kahwin sana memang mudah, tapi menyesal kemudian hari. Nak uruskan hal ini perlu pakai banyak duit. Tak tahu berapa ribu kena bayar denda. Tiada istilah bangga nikah sana,” jelas wanita itu.

Seorang lagi individu pula berkongsi kisahnya yang terpaksa menunda majlis perkahwinan gara-gara kedua-dua ibu bapanya tidak pernah mendaftarkan pernikahan di Malaysia.

“Masa saya nak nikah dulu macam itu la. Dah siap nak hantar borang kat pejabat agama. Sekali mereka cakap pernikahan ibu ayah tak didaftarkan di Malaysia.

“Kena pergi mahkamah untuk daftarkan. Berbulan-bulan tunda kahwin. Nasib sijil nikah ibu ayah sah, cuma tak daftar di Malaysia,” tulis individu itu.

Jadi sebelum anda membuat keputusan nak kahwin di Siam, elok lah berfikir sebaiknya sebelum datang masalah lebih besar di kemudian hari.


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply