Bukan mudah bagi usahawan mengekalkan perniagaan mereka kalau tidak konsisten memberikan produk terbaik kepada pelanggan. Lagi-lagi bisnes yang melibatkan makanan. Hasil kerja keras dan kreatif menghasilkan idea manisan terkini, tidak hairanlah produk Suka Dessert selalu viral!
Pujian seharusnya diberikan kepada pemilik Suka Dessert, Siti Hajar Mohd Razali atau lebih dikenali sebagai Auntie Ja kerana berjaya meletakkan produk keluarannya ke satu tahap membanggakan.
Siapa sangka, jualan manisan dan aneka sajian pencuci mulut yang diusahakan kira-kira enam tahun lalu berkembang maju dan sering diserbu penggemar coklat.
Dari utara tanah air sampai ke Selatan, mereka sanggup beratur panjang demi mendapatkan seleksi manisan menyelerakan di Suka Dessert yang terletak di Selayang.
Antara item yang laris ialah Cake in Bowl, Oval Cookies, Crunchpy, dan Strawberry in cup.
Dek kerana viral, produk Auntie Ja sering menjadi rujukan pengusaha manisan lain sehingga ada yang sanggup meniru kreativiti pengasas Suka Dessert itu termasuk dari segi hidangan, pembungkusan dan sebagainya. Perkara tersebut nyata menimbulkan rasa kurang senang Auntie Ja.
Malah dia turut memuat naik video di media sosial dengan menyatakan rasa kecewanya terhadap isu berkenaan.
View this post on Instagram
Percaturan Auntie Ja berhenti kerja demi mengejar impian memiliki bisnes manisan nyata berbaloi. Apatah lagi pada Januari 2023, jualan yang diraih syarikatnya dianggarkan mencecah tujuh angka!
Difahamkan isteri Muhammad Syafiq Mohd Zamshari ini pada awal pembabitannya tidak mempunyai latar belakang dunia kulinari.
Namun bersandarkan minat mendalam terhadap coklat, dia memberanikan diri berniaga dan menghasilkan manisan sendiri.
Meskipun Auntie Ja mempunyai kafe sendiri dan puluhan staf di belakangnya namun wanita cekal ini akui masih belajar mendalami dunia coklat.
Selain menjual aneka manisan, dia turut tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai festival makanan di seluruh Malaysia bagi mempromosikan produk jualan kepada pelanggan.
Semoga Suka Dessert terus berkembang maju dan kejayaan Auntie Ja di samping suami tercinta menjadi inspirasi ramai untuk berjaya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.