Mengapa wanita hamil mengidam? Bila waktu hamil mulalah teringin untuk makan pelbagai jenis makanan. Soalnya apa itu istilah mengidam?
“Mengidam” adalah satu pengalaman yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita hamil atau mengandung. Mengidam boleh diterjemahkan sebagai keinginan yang tinggi terhadap sesuatu jenis makanan yang dirasai ketika mengandung.
Apa yang mengejutkan, bukan hanya makanan yang diidamkan tetapi juga bahan bukan makanan seperti kapur dan kepingan cat atau tanah.
Pun begitu mengidam makanan yang manis dan masin serta berempah atau yang tinggi kandungan lemak, merupakan subjek yang paling popular.
Mengidam dialami mengikut waktu atau dalam tempoh kehamilan yang berbeza di antara seseorang wanita. Terdapat juga keadaan di mana seseorang wanita mengandung memilih untuk makan sesuatu yang sememangnya tidak akan dimakan pada hari-hari biasa jika tidak mengandung. Begitu pun, mengidam semasa mengandung tidak berlaku kepada semua wanita hamil.
Apa sebab mengidam?
Sebenarnya, penyebab berlakunya mengidam atau penolakan sesuatu jenis makanan semasa mengandung masih tidak diketahui. Terdapat pelbagai faktor yang dikaitkan sebagai punca berlakunya mengidam.
Menurut Siobhan Dolan, ada yang berpendapat mengidam atau penolakan semasa kehamilan sebenarnya merupakan satu faktor perlindungan, walaupun tiada data saintifik yang mencukupi untuk menyokong teori ini.
Perkara seperti peningkatan keperluan kalori serta zat makanan (nutrien) semasa kehamilan dan keperluan untuk pertumbuhan atau pembentukan janin merupakan alasan mengapa keadaan ini berlaku.
Walau bagaimanapun, ada sesetengah saintis atau penyelidik menyatakan perubahan hormon semasa mengandung turut memberi kesan kepada deria bau. Ini secara tidak langsung memberi kesan dalam pemilihan dan pengambilan makanan.
Mengidam sesuatu jenis makanan semasa mengandung turut dikaitkan sebagai petanda berlakunya kekurangan zat makanan atau nutrien. Sebagai contoh, seseorang wanita hamil yang mengidam susu atau produk tenusu seperti keju menunjukkan kekurangan kalsium. Manakala mengidam makanan manis seperti coklat menandakan peningkatan keperluan kalori atau kekurangan vitamin B.
Bahaya ke?
Mengidam sesuatu makanan dan memakan makanan tersebut secara berlebihan dan tiada kepelbagaian (monotonous diet – makan satu makanan sahaja) adalah tidak baik dan boleh menjejaskan kesihatan wanita mengandung serta kandungannya.
Walau bagaimanapun, mengidam bukanlah suatu kesalahan dan tidak membahayakan jika dapat mengawalnya. Walau sekuat mana anda mengidam sesuatu makanan, pastikan anda berfikiran waras. Fikirkan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.
Senarai di bawah merupakan makanan yang perlu diambil perhatian dan elakkan memakannya semasa anda hamil:
* Makanan laut termasuk ikan, telur dan produk hasil daging/ayam yang mentah atau tidak dimasak secara sempurna
* Susu dan produk tenusu seperti keju yang tidak dipasteur (unpasteurised milk)
* Alkohol
* Sayuran berakar yang tidak dibasuh bersih
Perlu elak
Sekali lagi dinyatakan, adalah tidak salah untuk anda mengidam semasa mengandung dan pada masa yang sama, masih dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan oleh anda dan bayi dalam kandungan.
Walau bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil makanan tersebut secara berlebihan. Sebagai contoh, sekiranya anda mengidam untuk makan coklat, pastikan anda hanya makan 1 kepingan atau potongan kecil sahaja dan bukannya keseluruhan kepingan coklat.
Pengambilan makanan yang tinggi kalori terutamanya yang tinggi kandungan gula dan lemak atau minyak boleh menyebabkan peningkatan berat badan yang berlebihan secara mendadak.
Pertambahan berat badan yang berlebihan akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit diabetes semasa mengandung dan masalah tekanan darah tinggi.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda lakukan sekiranya anda mengidam sesuatu jenis makanan:
* Makan makanan yang seimbang dan pilih makanan yang kurang lemak serta tinggi serat seperti produk bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran serta kekacang.
* Sekiranya anda makan secara sihat setiap hari, sesekali anda mengidam makanan yang kurang berkhasiat dan diambil dalam jumlah yang sedikit tidak menjejaskan keperluan zat yang diperlukan oleh bayi dalam kandungan.
* Makan secara kerap dan boleh makan enam kali dalam sehari dalam jumlah yang sedikit tetapi mengenyangkan. Ini bagi membantu mengelakkan penurunan paras gula dalam darah sehingga sukar untuk mengawal keinginan untuk makan.
* Alihkan perhatian dengan keluar berjalan, bersembang, membaca atau menjauhi dapur anda atau kedai.
* Beri tumpuan kepada makanan yang rendah kandungan kalorinya. Sekiranya ingin makan ais krim, pilih ais krim yang diperbuat daripada yogurt rendah lemak yang disejuk beku atau sorbet.
* Sekiranya mengidam untuk makan kerepek kentang (bergoreng), pilih yang dibakar atau dipanggang dan kurang garam.
Walau apa pun makanan yang anda inginkan atau mengidam, yang penting ia diambil secara sederhana. Jangan berlebih-lebih.
Menarik: Siti Nurhaliza Nak Jaga Kesihatan Di Usia 45 Tahun, Tak Fokus Tambah Anak
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.