Peguam cacat penglihatan pertama di Malaysia, Dato’ Mah Hassan baru-baru ini menasihatkan golongan remaja agar lebih menitikberatkan pendidikan dalam hidup berbanding memilih untuk mendapat pendapatan yang lumayan di usia muda.
Beliau memberi pendapat selepas disoal mengenai 10,160 orang calon SPM 2023 tidak hadir ke peperiksaan. Nasihatnya, golongan remaja perlulah sedar akan tanggungjawab mereka untuk hal yang sewajarnya dilakukan ketika masih muda.
“Kita perlu memainkan peranan sebagaimana yang kita berada. Kalau kita kanak-kanak, jalankan peranan sebagai kanak-kanak. Bila kita remaja, jalankan peranan sebagai remaja dan itu tanggungjawab”
“Jadi itu adalah suratan dan ketentuan takdir untuk mereka jalankan hidup agar bersedia semasa dewasa. Pendidikan itu sangat penting. Saya tak nak bangsa kita tertinggal kerana kelemahan dari segi pendidikan”
“Memang betul ada peluang pekerjaan yang sangat lumayan dan saya sangat salute dengan mereka yang muda tapi boleh buat semua itu. Akan tetapi pendidikan itu adalah asas sebab kalau mereka tiada pendidikan macam mana kamu nak bertahan dalam jawatan yang kamu ada sekarang. Jadi nasihat saya adalah utamakan pendidikan”
Menurut Dato’ Mah, sesuatu bangsa itu akan berjaya untuk mempertahankan keutuhan bangsanya sekiranya mereka ada pendidikan. Pendidikan juga adalah sesuatu yang kekal di dalam kepala kerana kita mempelajarinya.
“Sesuatu bangsa itu akan berjaya untuk mempertahankan keutuhan bangsanya jika bangsa itu berpendidikan. Kalau sekadar ada duit, duit akan habis atau hilang. Pendidikan orang tak boleh ambil atau curi sebab ilmu yang melekat dalam kepala”
Sementara itu, bercakap mengenai Kempen Menyalin Bahan Bacaan Projek Braillethon UiTM baru-baru ini. Dato’ Mah ingin menghasilkan lebih banyak bahan bacaan khusus untuk golongan cacat penglihatan.
Pengerusi kepada KL KL Braille Resources itu juga ingin mempromosi literasi braille supaya golongan cacat penglihatan tidak ketinggalan dalam mengakses buku dengan menguasai literasi braille.
“Saya nak hasilkan buku braille untuk pembacaan bagi mereka yang cacat penglihatan, mempromosi literasi braille supaya mereka juga tidak ketinggalan mengakses buku dengan menguasai literasi braille”
“Untuk OKU hadir ke sekolah tiada masalah sebab mereka dijaga oleh Kementerian Pendidikan. Kami bimbang tentang mereka yang baru saja jadi buta pada usia dewasa. Mereka tak boleh baca apa yang mereka nikmati dahulu ketika mereka celik. Jadi kami ingin latih mereka untuk kuasai braille dan boleh baca semula”
Dalam pada itu, peguam itu juga berharap stigma masyarakat terhadap orang buta dapat diubah kerana golongan orang kurang upaya juga mampu menyumbang dan berbakti pada masyarakat sekaligus menjadi aset kepada negara.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.