
GEORGE TOWN – Seekor ikan lumba-lumba daripada spesies Irrawaddy Dolphin yang telah mati ditemui terdampar di pesisiran Pantai Teluk Bahang, berdekatan dengan sebuah kuil Hindu di sini pada Jumaat.
Menurut kenyataan Jabatan Perikanan Pulau Pinang, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai insiden itu sebelum sepasukan anggota daripada Cawangan Konservasi dan Perlindungan bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemerhatian mendapati bangkai ikan lumba-lumba itu dianggarkan berukuran 1.98 meter dan merupakan spesies Irrawaddy Dolphin.
“Data berkaitan kejadian ini telah direkodkan sebagai sebahagian daripada pemantauan kedamparan mamalia marin di negeri ini,” katanya.
Tambah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, bangkai haiwan berkenaan kemudiannya ditanam di kawasan berhampiran sebagai langkah pelupusan yang sesuai dan mengikut prosedur.
“Kita mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian melibatkan kematian mamalia marin di perairan negeri ini bagi tujuan pemantauan dan pemuliharaan sumber marin,” katanya lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.