Saya mula berjinak-jinak dengan jam tangan pintar 11 tahun yang lalu selepas Samsung Galaxy Gear dilancarkan d Malaysia. Ianya produk yang menarik untuk mengumpul data kesihatan tubuh tetapi turut mempunyai isu bateri kurang tahan lama dan perisian yang belum cukup sedia.
Kita kini di tahun 2025 dan Samsung menerjah masuk pula ke pasaran cincin pintar. Samsung Galaxy Ring ialah produk yang berjaya menyelesaikan beberapa isu saya dengan jam tangan pintar tetapi mewujudkan beberapa isu baharu pula. Ini ulasan penuh untuk Samsung Galaxy Ring.
SPESIFIKASI
Samsung Galaxy Ring | |
Skrin | Tiada |
Pemproses | Tiada |
Memori/Storan | 8MB RAM |
Sistem Operasi | Sokongan Android 11 dan ke atas |
Perlindungan | 10ATM IP68 |
Sensor | Pengimbas nadi optikal, pengimbas oksigen dalam darah, accelerometer, pengesan suhu kulit. |
Tambatan | Bluetooth 5.4 |
Bateri | 18mAh (Saiz 5) – 23.5mAh (Saiz 13) 361 mAh (Pod pengecas) |
Bahan Binaan | Titanium |
Harga | RM2099 |
REKAAN
Samsung Galaxy Ring nampak seperti cincin mainan apabila di depan mata. Imej promosi di laman web nampak lebih premium khususnya untuk model Titanium Black. Model ini nampak seperti cincin gentian karbon yang sering diiklankan di Shopee. Ia juga lebih ringan daripada sangkaan awal walaupun tubuhnya diperbuat daripada logam titanium.

Ini kerana kerana bahagian dalam masih lagi diperbuat daripada bahan plastik dan resin. Di sini diletakkan sensor PPG (membaca nadi dan oksigen dalam darah), accelerometer dan suhu kulit. Tiada GPS, sensor komposisi tubuh, ECG dan tekanan darah yang sudah menjadi standard pada Galaxy Watch.
Sebagai pemilik Watch Ultra, saya akui kehilangan sensor ini adalah mengecewakan tetapi akur bagi orang kebanyakan tiga sensor yang disertakan adalah lebih daripada memadai. Keseluruhan cincin melepas piawaian IP68 dan 10ATM tetapi kami diberitahu Samsung tidak menyarankan ia dibawa berenang.

Model yang saya ulas adalah Titanium Silver yang masih nampak berjaya. Isteri saya berseloroh selepas 13 tahun berkahwin baru sekarang saya mempunyai sebentuk cincin di tangan. Saya akui kurang gemar memakai cincin tetapi Galaxy Ring tidak mendatangkan sebarang ketidakselesaan sepanjang dua minggu ia diulas.Keseluruhan cincin melepas piawaian IP68 dan 10ATM tetapi kami diberitahu Samsung tidak menyarankan ia dibawa berenang.

Tiada rasa gatal-gatal dan ia tidak menghalang aktiviti. Walaupun ia adalah cincin, Samsung menyarankan Galaxy Ring dipakai pada jari telunjuk untuk menyokong ciri gestur jari yang disokong. Sepanjang tempoh ulasan saya meletakkan Galaxy Ring pada jari cincin. Gestur masih dapat dikesan tanpa masalah dan saya rasakan ianya juga lebih selesa.
Galaxy Ring ditawarkan dalam saiz 5 hingga 15 di Malaysia. Maka ada saiz yang serasi dengan jari hampir semua manusia di Malaysia. Saiz bateri adalah 18 mAh untuk model 5-12 dan 23.5 mAh untuk model 13-15. Oleh itu ketahanan bateri adalah sehingga 7 hari dan ia akan bertahan lebih lama menggunakan pod simpanan merangkap pod pengecas.

Pod pengecas saiznya sama dengan Galaxy Buds FE cuma berkotak dan ianya lutsinar. Kandungan pod boleh dilihat tanpa perlu dibuka. Terdapat satu lubang USB-C di bahagian belakang untuk pengecasan. Apabila dibuka, Galaxy Ring terletak di tengah-tengah dengan ia tersimpan kemas pada sebuah silinder yang menempatkan dermaga pengecas nirwayar.
Galaxy Ring menyokong pengecasan nirwayar tetapi hanya menerusi pod yang disertakan. Saya cuba mengecasnya dengan beberapa aksesori Qi tetapi ini tidak boleh dilakukan. Sokongan Qi hanya untuk pod pengecas sahaja.

Pada bahagian dalam lampu LED akan menunjukkan tahap pengecasan bateri cincin dan juga pod yang mempunyai bateri 361 mAh. Sebuah butang fizikal diletakkan di bahagian “tombol” silinder simpanan untuk melakukan tambahan semula cincin kepada telefon pintar.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Pengalaman penggunaan adalah amat selesa walaupun seperti saya katakan saya tidak pernah memakai cincin sebelum ini. Sepanjang dua minggu ini saya jarang sekali menanggalkannya daripada jari. Ketika pergi melawat saudara ketika hari raya, cincin digunakan untuk makan rendang, ketupat dan kari ayam. Permukaan Galaxy Ring mudah dibersihkan dan bau makanan tidak melekat pada cincin. Tiada kerosakan berlaku selepas membasuh tangan dengan sabun dan berus. Seperti diiklankan, Galaxy Ring memang kalis air.

Cincin juga mengesan nadi dengan baik dalam situasi biasa dan ketika tidur. Cuma saya sedari bacaan pengimbas nadi adalah sedikit lebih rendah jika dibandingkan dengan bacaan Galaxy Watch Ultra. Bacaan yang mana satu lebih tepat? Mungkin Galaxy Ring kerana ia dipasang lebih ketat pada jari berbanding jam yang saya gemar gunakan dengan sedikit longgar.

Bacaan aktiviti berjalan dan berlari juga memuaskan. Kiraan tapak adalah konsisten dengan bacaan Watch Ultra dan S25 Ultra sahaja dengan perbezaan sekitar 10 tapak sahaja. Saya tidak boleh menguji ketepatan penjejakan kitaran haid kerana tidak dilahirkan dengan ovari. Saya cuba menyuruh isteri mengujinya tetapi Galaxy Ring yang diulas terlalu besar untuk jari beliau. Penjejakan tidur adalah sebaik menggunakan Watch Ultra dan memang lebih selesa tidak menggunakan cincin berbanding jam tangan yang besar.

Sokongan gestur jari juga amat berguna ketika beraya kerana digunakan untuk mengawal kamera. S Pen dengan bluetooth tidak lagi disokong pada Galaxy S25 Ultra dan Galaxy Ring memudahkan proses mengambil gambar dari jarak jauh di pagi HarI Raya.

Galaxy Ring boleh dijejak jika hilang menggunakan ciri Find My Ring. Tetapi saya rasakan tiadanya UWB dan speaker adalah dua kesilapan daripada Samsung. Tanpa UWB mencari cincin yang terjatuh adalah amat sukar di siang hari. Lampu yang berkelip apabila Find My Ring digunakan tidak cukup terang untuk memudahkan pencariannya.
Ini mungkin dilakukan bagi menjaga hayat bateri tetapi jika ura-ura bateri keadaan pepejal akan digunakan Samsung, diharap kedua-dua ciri ini boleh diberikan pada Galaxy Ring generasi seterusnya.
BATERI
Sepanjang dua minggu Galaxy Ring diulas, saya menyambung pod pengecas kepada sumber kuasa hanya sekali. Bateri secara purata boleh bertahan antara 5-6 hari sebelum Galaxy Ring perlu dimasukkan dalam pod pengecas. Ini adalah jauh lebih menyenangkan berbanding Watch Ultra yang perlu saya caj setiap 3 hari.

APA DALAM KOTAK?
1x Samsung Galaxy Ring
1x Pod simpanan/pengecas
1x Kabel USB-C ke USB-C
1x Set buku manual dan keselamatan

KESIMPULAN
Samsung Galaxy Ring ialah cincin pertama daripada Samsung dan produk sulung ini mempunyai beberapa perkara positif dan juga beberapa perkara negatif. Yang positif ialah ia memang bertahan lama sebelum perlu dicas, menjejak pelbagai data kesihatan tubuh dengan baik, tahan lasak, dan selesa dipakai. Kesemua kini menyelesaikan isu yang wujud pada jam tangan pintar.

Tetapi ia juga hadir dengan sensor yang terhad berbanding Galaxy Watch, dan dijual pada harga lebih mahal. Sebentuk Galaxy RIng dijual pada harga RM2099 sedangkan Galaxy Watch7 boleh dibeli pada harga bermula RM1049. Galaxy Watch boleh mengesan tekanan darah, ECG, membaca komposisi tubuh, menunjukkan waktu, memberikan notifkasi dan melakukan panggilan telefon.
Galaxy Ring ialah produk generasi pertama yang masih niche pada ketika ini. Jika anda memang tidak suka memakai jam dan lebih selesa dengan cincin, Galaxy Ring ialah produk direka khusus untuk keperluan anda. Di luar keperluan ini, Galaxy Watch7 ialah pilihan lebih murah dan tepat.
PRO
- Kalis air IP68 dan 10 ATM
- Lebih selesa dipakai ketika tidur berbanding jam tangan pintar.
- Sensor yang baik untuk rekod kesihatan dan kecerdasan.
- Bateri amat tahan lama berbanding jam.
- Tahap pengesanan data tubuh yang agak baik.
KONTRA
- Sensor kesihatan seakan penjejak kesihatan tidak setanding Galaxy Watch.
- Tiada UWB atau bunyi untuk menjejak lokasi jika hilang.
- Harga yang agak mahal untuk kemampuan terhad.

Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.