Grab mungkin dikenali sebagai platform kenderaan seru-pandu dan penghantaran barangan dan makanan, tetapi tahukah anda mereka juga membangunkan teknologi dan perkakasan mereka sendiri yang digunakan untuk membangunkan teknologi-teknologi lain, dan juga untuk digunakan oleh rakan-rakan perniagaan dan penghantaran mereka?

Di ibu pejabat Grab di Singapura, selepas acara GrabX 2025, kami telah berpeluang melihat pejabat baru mereka, dan juga melihat beberapa perkakasan teknologi yang dibina sendiri dan digunakan untuk pelbagai tugasan.

Pertama ialah kamera merakam laluan KartaCam yang kini hadir dengan generasi ketiga. Model-model KartaCam terdiri daripada KartaCam generasi pertama, KartaCam 360, yang menggabungkan empat kamera KartaCam untuk merakam video 360 darjah dan KartaCam 2, kamera rakaman persekitaran yang hadir dengan kemampuan rakaman 360 darjah pada resolusi 8K.

KartaCam generasi pertama dibangunkan pada tahun 2021 dan digunakan untuk melakar jalan raya dan jalan kecil untuk aplikasi GrabMaps yang digunakan oleh rakan pemandu dan penghantar barangan, dan pada 2024, KartaCam 2 dibangunkan yang memberi perincian jalan yang lebih jitu, dan digunakan pada kereta pemetaan dan juga pemeta jalan kaki, yang banyak dimanfaatkan di negara-negara seperti Indonesia dan Thailand.
Satu lagi produk ialah Grab Beacon yang menggunakan isyarat Bluetooth untuk menandakan bahawa rakan penghantaran makanan sudah tiba di kedai makanan untuk mengambil pesanan pelanggan, dan maklumat ini kemudiannya akan dihantar ke aplikasi anda melalui teknologi awanan.

Grab Beacon ini hadir dengan saiz yang sangat kecil, dan memakan jumlah kuasa bateri yang sangat kecil, dan satu aksesori ini boleh bertahan selama beberapa tahun sebelum baterinya perlu ditukar.
Satu produk baru yang diperkenalkan oleh Grab ialah Grab Cloud Printer, iaitu sebuah pencetak pesanan makanan yang kini boleh diletakkan secara terus di dapur, dimana tukang masak boleh melihat terus pesanan, memasaknya, dan kemudian menggunakan pengimbas kod QR terbina untuk mengatakan bahawa makanan sudah siap dimasak dan boleh diambil dan dihantar kepada pelanggan.

Menurut Grab, mesin pencetak Grab Cloud Printer ini akan mula ditawarkan di restoran-restoran terpilih bermula bulan Mei tahun ini.

Satu lagi produk yang sedang diuji ialah Grab Locker, iaitu sebuah almari berkunci yang membolehkan pihak penghantar makanan untuk meletakkan pesanan pelanggan tanpa perlu risau mengenai makanan dicuri atau tersalah ambil. Ia menggunakan sistem QR untuk membolehkan penghantar makanan meletakkan makanan didalam rak, dan pemesan hanya perlu mengimbas kod QR melalui pesanan mereka untuk mengambilnya.
Grab Locker hadir dengan sistem pemanas dan pencuci terbina yang memastikan makanan anda kekal panas atau sekurang-kurangnya suam apabila diambil, dan juga hadir dengan pencuci ringkas terbina yang memastikan setiap ruangan locker sentiasa bersih.

Selain daripada makanan, barang-barang yang dihantar melalui Grab Express juga boleh disimpan didalam locker ini, selagi ia mempunyai saiz yang boleh dimuatkan didalam locker ini.
Kami diberitahu bahawa buat masa ini, Grab Locker sedang diuji di pejabat-pejabat Grab sendiri, khususnya di Singapura dan juga Kuala Lumpur, dan akan diperkenalkan secara lebih meluas di masa hadapan.
Seperti yang dilihat, Grab mungkin lebih dikenali untuk perkhidmatan digital mereka, tetapi mereka juga membangunkan membangunkan teknologi sendiri yang boleh memanfaatkan bukan sahaja diri mereka, tetapi juga rakan perniagaan dan para pelanggan mereka.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.