Adakah kesemua usaha saya mempelajari Adobe Photoshop sejak 1998 akan menjadi tidak berguna tidak lama lagi? Ini ialah soalan eksistensi yang akan terjawab dalam masa terdekat kerana Adobe akan memperkenalkan agen kecerdasan buatan (AI) dalam perisian Photoshop dan Premiere Pro tidak lagi lama lagi.

Dalam demo yang dikongsi oleh Adobe, agen AI akan melakukan analisa gambar yang dibuka dalam Photoshop. Ia kemudiannya memberikan saranan suntingan yang boleh dilakukan seperti membuang objek, meningkatkan keterangan dan juga boleh diarahkan meletakkan teks di belakang subjek.
Kemahiran melakukannya sendiri secara manual tidak lagi diperlukan kerana Firefly akan melakukannya secara automatik untuk pengguna. Lebih menarik ialah setiap suntingan akan mempunyai lapisannya sendiri dengan sokongan Smart Objek seperti cara seorang editor grafik manusia melakukan kerja.

Dalam Premiere Pro pula, agen AI boleh diarahkan untuk melakukan suntingan kasar berdasarkan video yang dimasukkan ke dalam pustaka projek yang ingin diusahakan. Arahan seperti melakukan zum dan mengambil hanya video sudut lebar misalnya boleh diberikan oleh manusia. Ia adalah kesinambungan kepada ciri carian Premiere Pro yang kini memahami konteks video dalam pustaka.
Adobe akan berkongsi lebih lanjut mengenai teknologi di sebalik agen AI mereka di acara Adobe Max yang akan berlangsung pada 24 April depan di London.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.