Kerajaan negeri bantu anak Pahang terjejas kebakaran saluran gas

Sumbangan kepada Zurina Ismail, 49, yang berasal dari Jengka 8, Maran disampaikan Sekretariat Perantau Anak Pahang menerusi pegawainya, Syed Anas Syed Ali.

KUANTAN – Kerajaan Pahang menghulurkan sumbangan awal bagi membantu anak Pahang, salah seorang mangsa yang terjejas dalam kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor pada Selasa lalu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan kepada Zurina Ismail, 49, yang berasal dari Jengka 8, Maran disampaikan Sekretariat Perantau Anak Pahang menerusi pegawainya, Syed Anas Syed Ali.

Melalui hantaran di Facebooknya, Wan Rosdy berharap Zurina dan keluarga terus tabah menghadapi dugaan dan ujian ini lebih-lebih lagi kejadian itu berlaku ketika umat Islam sedang menyambut perayaan hari raya Aidilfitri.

“Inilah antara objektif utama Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Sekretariat Perantau Anak Pahang untuk membantu dan menyantuni anak-anak Pahang di perantauan agar mereka tidak merasa tersisih dan sentiasa diberi perhatian terutamanya jika dilanda musibah,” katanya.

Terdahulu, Pahang Media melaporkan sumbangan awal kepada Zurina diserahkan Syed Anas ketika melawatnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Height pada Khamis.

Menurut laporan itu, Zurina berterima kasih di atas keprihatinan Wan Rosdy terhadap diri dan keluarganya yang menjadi antara mangsa yang terjejas dalam kejadian itu.

“Alhamdulillah terima kasih banyak kepada Menteri Besar Pahang atas keprihatinan dan bantuan untuk kami ini.

“Terima kasih banyak-banyak. Moga ALLAH rahmati, berkati, lipat gandakan lagi, makmurkan Pahang,” katanya.

Zurina yang telah lapan tahun tinggal di situ, mendapat tahu berkenaan perkara tersebut daripada jirannya ketika dia dan keluarga pulang beraya di kampung.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply