Tukang kebun maut kemalangan

Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta. Foto Polis

KUALA TERENGGANU – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Gong Pak Jin, di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Ahmad Faizal Zakaria, 33, yang bekerja sebagai tukang kebun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10 malam tadi melibatkan kemalangan antara dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR serta kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 58 tahun itu dalam perjalanan dari arah Taman Kasturi Indah Kampung Gong Pak Jin dan kemudian berhenti di tempat kejadian untuk membelok ke kanan.

“Semasa sedang membelok, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggang oleh mangsa dari arah bertentangan telah terlanggar di bahagian pintu hadapan sebelah kiri kereta tersebut.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa telah tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Azli berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut,”

Beliau berkata, penumpang bahagjan hadapan kereta mengalami kecederaan di muka dan tangan serta telah dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

“Selain itu, pemandu kereta serta dua penumpang di bahagian belakang tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply