Kemalangan tragis dekat Terowong Menora: Polis akan rakam keterangan suami mangsa

Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, dan anaknya, Naira Falisha Abdul Rahman maut. Kereta Perodua Bezza terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora

IPOH – Keterangan suami kepada mangsa kemalangan tragis dekat Terowong Menora di sini Ahad lalu akan diambil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 29 tahun itu telah dibenarkan keluar dari hospital dan difahamkan berada di kediaman datuknya di Tanjung Malim.

“Pihak polis sedang berusaha untuk mendapatkan keterangan daripada lelaki itu dalam tempoh terdekat.

“Sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut beliau berkata, usaha juga giat dijalankan bagi mengesan pemandu dan pemilik kenderaan yang dirakam kamera papan pemuka melanggar mangsa yang terbaring di laluan tengah jalan.

“Siasatan kes ini masih di peringkat awal dan kita sedang menunggu keputusan bedah siasat dan forensik bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Noor Hisam berkata, dalam kes itu, ahli keluarga mangsa juga tidak membuat laporan rasmi berkaitan kehilangan barangan berharga termasuk barangan kemas seperti dinyatakan dalam kenyataan tular.

Katanya, pegawai penyiasat yang tiba di lokasi nahas mendapati, kesemua mangsa yang terlibat telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan pemeriksaan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, permukaan jalan licin akibat cuaca selepas hujan serta kedudukan laluan menurun dan berselekoh.

“Faktor ini juga boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya,” katanya menjawab dakwaan terdapat kesan minyak atas jalan mengakibatkan kereta dipandu mangsa terbabas.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan ibunya yang sedang hamil lapan bulan meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini.

Mangsa, Naira Falisha Abdul Rahman yang parah maut di lokasi kejadian manakala ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, pula menghembuskan nafas terakhir jam 9 pagi pada Isnin ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Dalam kejadian sekitar pukul 6.45 petang itu, bapa mangsa Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, pula dilaporkan mengalami kecederaan parah

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial mengatakan terdapat unsur langgar lari dalam nahas terbabit membabitkan beberapa kenderaan selain mendakwa berlaku kehilangan barang peribadi milik mangsa termasuk wang tunai, dompet dan barangan kemas.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply