
SUBANG JAYA – Kementerian Digital sedang meneliti keperluan menggantikan peranti digital yang rosak susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, dekat sini, bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ramai penduduk di kawasan itu memaklumkan bahawa telefon pintar dan peralatan elektronik lain turut musnah dalam kejadian berkenaan.
“Dalam perbincangan dengan penduduk tadi, ramai menyatakan peranti mereka turut terkesan. Jadi kementerian kini sedang melihat bagaimana kita boleh bantu menggantikannya.
“Saya berharap dalam tempoh dua hari ini kita dapat umumkan langkah-langkah yang akan diambil. Mereka yang perlukan bantuan boleh berhubung dengan pejabat Ahli Parlimen atau ADUN untuk permohonan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau sendiri lokasi kejadian pada Jumaat.
Gobind turut memaklumkan, kementeriannya akan bekerjasama dengan pejabat wakil rakyat untuk menyelaras bantuan gantian peranti dalam masa terdekat.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyatakan komitmen kementerian untuk membantu seberapa segera yang boleh, selaras dengan usaha kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan.
“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua agensi yang telah membantu. Fokus sekarang ialah bagaimana kita boleh bantu mereka yang terkesan kembali ke rumah secepat mungkin,” ujarnya.
Menurut beliau, banyak bantuan telah disalurkan sejak tiga hari lalu menerusi pejabat Ahli Parlimen dan DUN, namun masih banyak keperluan lain yang perlu dipenuhi.
“Kita datang hari ini untuk meninjau keadaan sebenar dan akan bawa laporan penuh kepada Kabinet untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Gobind turut memaklumkan bahawa siasatan insiden masih berjalan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Biar siasatan ini diteruskan dan saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Ketika ditanya mengenai status penduduk yang pulang ke rumah masing-masing, Gobind menjelaskan bahawa pihak polis dan agensi berkaitan sedang menguruskan hal berkenaan, termasuk keperluan membuat laporan polis dan pemeriksaan rumah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.