Presiden Korea Selatan sah dipecat

Yoon Suk Yeol – Foto Agensi

SEOUL – Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan pada Jumaat memutuskan untuk mengekalkan pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol, sekali gus menggugurkan kuasa beliau sebagai pemimpin negara itu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat pada 4 April selepas lapan hakim Mahkamah Perlembagaan sebulat suara mendapati tindakan Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember 2024 telah melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Presiden telah mengabaikan tanggungjawab perlembagaan untuk mempertahankan Perlembagaan dan secara serius mengkhianati kepercayaan rakyat Korea,” kata Ketua Hakim Sementara, Moon Hyung-bae dalam sidang mahkamah yang disiarkan secara langsung kepada rakyat.

Mahkamah juga berpendapat bahawa tindakan Suk Yeol membawa kesan negatif yang besar kepada kestabilan negara dan keputusan untuk menyingkirkan beliau lebih bermanfaat dalam memulihkan ketertiban perlembagaan.

Dengan kekosongan jawatan presiden, Korea Selatan perlu mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh 60 hari, dijangka selewat-lewatnya minggu pertama bulan Jun.

Ketua Parti Demokratik, Lee Jae-myung, yang juga pemimpin pembangkang terbesar, kini mendahului calon lain dalam tinjauan pendapat sebagai calon pilihan rakyat bagi jawatan presiden.

Suk Yeol, 65, mencetuskan krisis politik apabila mengisytiharkan undang-undang tentera pada lewat malam 3 Disember tahun lalu, sebelum Parlimen bertindak membatalkan keputusan itu beberapa jam kemudian.

Pada 14 Disember, ahli Parlimen mengundi untuk memecat dan menggantung tugasnya atas dakwaan melanggar Perlembagaan dengan tindakan tersebut.

Dalam pembelaannya pada sesi mahkamah terakhir pada 25 Februari, Suk Yeol menegaskan bahawa beliau tidak berniat menindas rakyat melalui kekerasan, sebaliknya hanya mahu merayu kepada rakyat menggunakan mekanisme undang-undang tentera.

Beliau juga menuduh Parlimen yang dikuasai pembangkang sebagai dalang yang mensabotaj dasar kerajaan serta melemahkan keselamatan negara dengan mengurangkan belanjawan pertahanan.

Suk Yeol kini berdepan pertuduhan berasingan atas kesalahan pemberontakan susulan pengisytiharan undang-undang tentera tersebut. Perbicaraan kes itu dijadual bermula pada 14 April.

Pakar politik dari Universiti Kyonggi, Prof Hahm Sung-deuk, menyifatkan pemecatan Suk Yeol sebagai bukti kukuh bahawa demokrasi Korea Selatan kekal utuh.

“Saya yakin sistem perundangan kita akan terus mengatasi kepentingan politik. Negara harus diutamakan, dan demokrasi lebih penting daripada kepentingan partisan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan terbaru oleh Gallup Korea pada 28 Mac menunjukkan enam daripada 10 rakyat Korea menyokong pemecatan Suk Yeol. Lebih separuh juga menyatakan hasrat untuk melihat perubahan kerajaan daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang diterajui Suk Yeol kepada Parti Demokratik (DP), yang kini menguasai 170 daripada 300 kerusi Parlimen.

Dalam usaha mencegah ketegangan awam, pihak polis Seoul telah mengepung kawasan sekitar Mahkamah Perlembagaan sejak 1 April dan mengerahkan 14,000 anggota bagi mengawal lokasi sensitif termasuk pusat pentadbiran Gwanghwamun, kediaman Suk Yeol di Itaewon serta bangunan Parlimen di selatan Sungai Han.

Keputusan Mahkamah Perlembagaan ini diumumkan selepas tempoh pertimbangan yang lebih lama daripada jangkaan, berbanding pemecatan bekas presiden terdahulu, Park Geun-hye pada 2017 dan Roh Moo-hyun pada 2004, yang masing-masing diputuskan dalam tempoh 14 hari selepas sesi perbicaraan terakhir.

Dalam tempoh menunggu keputusan ini, ketegangan meningkat apabila ribuan rakyat turun ke jalanan mengadakan tunjuk perasaan, sama ada menyokong atau membantah pemecatan Suk Yeol, dengan perhimpunan besar-besaran berlaku di pusat bandar Seoul dan beberapa bandar utama lain. – Agensi


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply