Honda Civic rempuh tiga kenderaan

Honda Civic merempuh tiga kenderaan lain dalam satu kemalangan di Jalan Kebun Teh, di sini, pada Isnin lalu.

JOHOR BAHRU – Kegagalan mengawal kenderaan dipercayai menjadi punca sebuah Honda Civic merempuh tiga kenderaan lain dalam satu kemalangan di Jalan Kebun Teh, di sini, pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superitenden Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 2 petang dan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Honda Civic.

“Pemandu yang berusia 36 tahun itu gagal mengawal keretanya sebelum melanggar sebuah BMW yang berhenti di persimpangan jalan.

“Impak daripada perlanggaran itu menyebabkan Honda Civic berkenaan terus merempuh dua lagi kenderaan iaitu Perodua Bezza dan Proton X50 yang berada di sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan ini, pemandu Honda Civic mengalami kecederaan di bahagian perut, manakala pemandu BMW iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun, cedera di bahagian bahu dan masih menerima rawatan di Hospital KPJ Puteri, Larkin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, tular satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki telah merempuh beberapa kenderaan di Jalan Kebun Teh, di sini.

Hantaran tersebut telah menerima pelbagai respons daripada orang ramai dan menimbulkan kemarahan kerana kecuaian pemandu tersebut.

Bagaimanapun, Azrul Hisham mengesahkan keadaan dua lagi pemandu yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan serius.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Kaedah 10 LN 166/59.

Sehubungan itu, polis meminta saksi kejadian untuk tampil ke Balai Polis Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Azim Abd Samad di talian 019-7533893 bagi membantu siasatan.

“Rakaman insiden yang dimuat naik di Facebook Talks pada Khamis sekitar jam 9 pagi mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai sikap pemandu yang cuai sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply