Pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Singapura, Shaun Chen, berdepan detik paling menyayat hati apabila bapanya yang berusia 84 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam insiden langgar lari pada pagi 28 Mac lalu.
Shaun berkongsi berita duka itu menerusi satu video di Instagram, mendedahkan bahawa bapanya telah dilanggar ketika menunggang motosikal pulang ke rumah di kampung halaman mereka di Negeri Sembilan.
Lebih memilukan, pemandu yang melanggar mangsa melarikan diri dari tempat kejadian tanpa memberikan sebarang bantuan.
Namun pada Ahad, 30 Mac, Shaun memaklumkan kepada media tempatan bahawa pemandu terbabit, seorang lelaki berusia 62 tahun, telah tampil menyerah diri dan membuat laporan polis pada hari kejadian.
“Kami masih belum tahu apa sebenarnya berlaku semasa kemalangan dan bagaimana dia akan didakwa. Kami akan dapat maklumat lanjut selepas pengebumian selesai,” jelas pelakon berusia 46 tahun itu.
Rakaman kejadian tersebut sempat dirakam oleh kamera papan pemuka milik seorang jiran kampung yang kebetulan memandu di belakang mendiang ayahnya. Jiran itu bersama beberapa penduduk kampung lain, bergegas memberikan bantuan.
Rakaman kamera papan pemuka kejadian yang merenggut nyawa ayah Shaun Chen.
Walaupun masih bernyawa ketika dibawa ke hospital, bapanya kemudian disahkan mati otak sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat kecederaan serius yang dialami.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram, Shaun berharap agar pemandu berkenaan dapat memohon maaf kepada arwah bapanya, sekaligus menunjukkan rasa bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
Upacara pembakaran mayat mendiang bapanya telah diadakan di Malaysia pada hari ini (1 April), disertai keluarga terdekat dan kenalan rapat.
Sedikit info tentang Shaun, dia dilahirkan dan dibesarkan di Jelebu, Negeri Sembilan. Memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada 2003 di Singapura dengan membintangi pelbagai drama dan filem, sehingga kini dia antara pelakon popular di negara terkaya Asia Tenggara itu.
Antara naskhah popular lakonannya seperti My Friends From Afar, Unriddle dan Emerald Hill – The Little Nyonya Story.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.