Pasangan penyanyi Ernie Zakri dan Syamel memilih untuk mengenakan busana tradisional dengan warna sedondon sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menurut Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, dia membuat persiapan secara sederhana untuk menyambut Syawal pada tahun ini.
“Persiapan raya sama sahaja seperti tahun-tahun sebelum ini dan kami hanya bersederhana.
“Untuk menjenguk kedua-dua belah ibu bapa pula, ianya mudah bagi kami kerana bapa mentua saya tinggal bersama.
“Rutin kami setiap tahun beraya dengan bapa mentua kemudian akan pulang ke Klang (keluarga Ernie),” katanya kepada Gempak.
Pelantun lagu Aku Cinta tersebut bersepakat untuk menyarung pakaian yang lebih sesuai dengan tona kulit masing-masing.
“Tahun ini warna sedondon dan Syamel juga memilih warna yang sesuai sebab tahun lepas dia marah saya pilih warna kuning.
“Katanya tak sesuai dengan warna kulit. Jadi tahun ini kami pilih warna yang selamat,” kongsi mereka lagi.
Dalam pada itu, Ernie dan Syamel juga menyediakan pakaian lebih banyak buat anak perempuan mereka, Khawla Soleha yang kini semakin lincah dan aktif.
“Baju anak kena sediakan lebih sebab dia sangat lasak dan dia suka bergaya.
“Tak mengapa kalau dia sudah tidak boleh pakai lagi baju-baju itu pada tahun hadapan sebab ia boleh diberikan kepada sesiapa yang memerlukan,” ujar Ernie.
Sekadar info, Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga mereka pada Mac 2021.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Nur Khawla Soleha yang berusia tiga tahun.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.