
KLUANG – Hasrat sepasang suami isteri untuk menyambut ulang tahun perkahwinan keempat berakhir dengan tragedi apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 25, Jalan Renggam menghala ke Layang-Layang, malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang juga pemandu Honda City, Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan muka manakala isterinya, Nor Syahirah Abu Zaki, 30, cedera di kaki dan kini mendapatkan rawatan di hospital.

Nor Syahirah berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama suami dan anak lelaki tunggal berusia setahun dalam perjalanan ke Kluang selepas beraya di Pontian bersama konvoi enam buah kenderaan lain.
Jelas beliau, ibunya Foziah Ridzuan, 60, abangnya Ahmad Zhafir, 34, dan adiknya, Nur Hafizah, 27 turut berada di dalam kenderaan dipandu suami.
“Saya dan suami sudah merancang untuk bercuti di Kuala Lumpur memandangkan hari ini iaitu pada 1 April merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang keempat selain untuk menyambut hari lahir saya pada 6 April dan suami pada 7 April.
“Kami mahu ke I-City Shah Alam dan Zoo Negara. Tetapi, ALLAH SWT lebih menyayangi suami saya,” katanya ketika di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang pada Selasa.

Bercerita lanjut, Nor Syahirah tidak menyangka kata-kata suaminya berkenaan tidak akan berniaga lagi pada hari terakhir berniaga di bazar menjadi kenyataan.
“Suami dan saya sudah tiga tahun berniaga ayam goreng di Kampung Melayu di sini dan pada Ramadan kami di tapak bazar.
“Sebelum itu, suami ada terima tawaran kerja baharu sebagai pengurus acara di Kluang dan akan mula bekerja pada minggu depan.
“Saya ingat kata-kata dia itu sekadar hendak beritahu dia dapat kerja baharu, rupa-rupanya itu petanda dia hendak beritahu kepada saya bahawa dia akan pergi buat selamanya,” ujarnya.

Sementara itu abang ipar, Muhammad Taqiyuddin Muhammad Faudzi, 36, yang turut bersama dalam konvoi tersebut tidak menyangka kenderaan adik ipar di sapa Amir yang terpisah dari konvoi berakhir tragedi.
“Kami sekeluarga menaiki enam kereta memutuskan untuk menggunakan laluan Renggam- Layang-layang kerana laluan biasa agak sesak.
“Saya perasan kereta adik ipar (Honda City) tiada di belakang kereta saya. Kemudian tidak lama selepas itu saya dapat panggilan telefon beritahu kereta Amir terbabit nahas.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran simpang Felda Ulu Belitong, saya nampak bomba sedang berusaha keluarkan Amir daripada kereta,” katanya.
Dalam pada itu, pihak keluarga memberitahu jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong, Kluang.

Sebelum itu, media melaporkan seorang lelaki maut manakala 14 yang lain cedera selepas dua kenderaan bertembung dalam kejadian di Kilometer 25, Jalan Renggam hala Layang-Layang pada Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian sekitar jam 8 malam itu membabitkan sebuah Honda Stream yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun bersama lapan penumpang berumur antara tiga hingga 21 tahun.
Sementara itu, kenderaan kedua, Honda City, membawa lima penumpang berusia antara satu hingga 60 tahun.

“Siasatan awal mendapati Honda Stream dalam perjalanan dari arah Renggam ke Layang-Layang manakala Honda City dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di lokasi, Honda Stream dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.