Henti serta merta pertikai sambutan Hari Jadi TYT – Samora

Jelani, Romzi

KOTA KINABALU – Pertikaian mengenai sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah bagi tahun ini harus dihentikan serta-merta bagi mengelakkan tercalarnya imej institusi istana negeri.

Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Datuk Jelani Hamdan berkata, kekeliruan yang timbul hanya berpunca daripada kesilapan dalam kenyataan atau penggunaan istilah yang kurang tepat oleh pihak tertentu.

“Kami menegaskan bahawa sambutan Hari Jadi Rasmi TYT bagi tahun 2025 ini tidak melanggar perlembagaan negeri atau mana-mana undang-undang dan peraturan negara.

“Ia telah dirancang dengan teliti bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi semua keperluan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, selepas meneliti perincian pelaksanaan sambutan itu, Samora mendapati kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak melakukan sebarang kesalahan atau pembaziran dalam menganjurkan acara berkenaan.

“Malah, langkah penjimatan telah diambil dengan mengurangkan kos perbelanjaan sambutan secara telus dan berhati-hati. Jadi, kami berpendapat tidak wajar untuk terus memperdebatkan perkara ini,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Samora, Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, sambutan Hari Jadi Rasmi TYT pada tahun sebelumnya melibatkan lebih banyak aktiviti dan kos yang lebih tinggi berbanding tahun ini.

“Sebagai contoh, pada tahun 2024 terdapat 12 program atau aktiviti yang disenaraikan dalam sambutan. Namun, bagi tahun ini, jumlahnya dikurangkan kepada tujuh sahaja bagi memastikan penjimatan kos.

“Beberapa program yang memerlukan kos besar seperti konvoi motosikal berkuasa tinggi dan pertandingan golf telah ditiadakan. Sebaliknya, program yang lebih bermanfaat kepada rakyat seperti majlis meraikan anak yatim, majlis keagamaan dan perbarisan dikekalkan,” katanya.

Tambahnya lagi, ini membuktikan bahawa perancangan yang dibuat bukan sahaja lebih cekap tetapi turut mengambil kira kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply