
SHAH ALAM – Salah seorang kakitangan Kumpulan Karangkraf tidak menyangka sambutan perayaan Aidilfitri di kampung mertuanya berubah menjadi tragedi apabila terlibat dalam insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa.
Eksekutif Sumber Manusia, Muhammad Amirul Azhar Mohd Yasin, 38, berkata, kebakaran tersebut merebak dengan pantas hingga ke belakang rumah mertuanya di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, menyebabkan semua ahli keluarga bertindak keluar untuk menyelamatkan diri.
Ujarnya, seramai sembilan ahli keluarganya termasuk seorang kanak-kanak turut mengalami kecederaan melecur di anggota badan mereka akibat insiden yang berlaku sekitar jam 8.15 pagi.
“Kebanyakan (ahli keluarga) semua melecur sama ada di bahagian kaki, lengan dan leher. Saya juga mengalami kesan lecur di belakang badan kerana lari daripada kebakaran tersebut.
“Paling teruk adalah abang ipar saya, melecur di seluruh bahagian belakang badannya. Buat masa ini, doktor beritahu keadaan semua pesakit terlibat dalam kebakaran mengalami kesan lecur tahap dua,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Selasa, seramai 112 mangsa terkesan membabitkan 49 kediaman di lokasi berhampiran susulan kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height pada Selasa.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamed berkata, jumlah mangsa itu membabitkan penduduk di Jalan Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru yang berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Muhammad Amirul Azhar, sebelum insiden tersebut, dia merasai gempa bumi berlaku di kediaman mertuanya sebelum kedengaran letupan api di kawasan saluran gas berdekatan rumah berkenaan.

“Bila saya keluar dari rumah itu, saya tengok api sudah terlalu marak dan semua orang sekitar kawasan tersebut melarikan diri.
“Mereka tidak sempat membawa apa-apa termasuk kereta, semua berlari dengan berkaki ayam. Sesiapa yang berlari tanpa baju dan sebagainya, belakang badan mereka akan melecur teruk,” ujarnya.
Katanya lagi, mangsa insiden tersebut ditempatkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi menjalani peperiksaan dan rawatan kesihatan.
Jelas Muhammad Amirul Azhar, orang ramai turut membantu dia dan keluarganya dengan menghantar mereka ke hospital berkenaan.
“Saya dan keluarga sampai di hospital dalam jam 10 pagi. Kami ada menelefon ambulans untuk minta bantuan, tetapi disebabkan terlalu lama masa untuk mereka sampai ke tempat kejadian, orang ramai turut membantu menghantar kami.
“Bomba juga ada datang tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana api terlalu kuat. Mereka tidak boleh masuk ke kawasan terbakar itu.
“Kenderaan yang bomba ada itu mereka gunakan untuk misi mencari dan menyelamat mangsa yang terselamat dari insiden tersebut,” menurutnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.