Kebakaran saluran gas: Tutup saluran tiga injap sepanjang 32 kilometer – Bomba

Tiga injap utama sepanjang kira-kira 32 kilometer (km) ditutup bagi memadamkan kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada Selasa. Foto Bernama

SUBANG JAYA – Tiga injap utama sepanjang kira-kira 32 kilometer (km) ditutup bagi memadamkan kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pada Selasa.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya menganggarkan kira-kira empat jam diperlukan untuk memadamkan api sepenuhnya.

Katanya, tempoh tersebut diperlukan bagi memastikan baki gas dalam saluran paip sepanjang 32 km itu habis terbakar.

“Petronas akan melepaskan gas secara asli serta kebakaran membabitkan tiga injap utama saluran paip, iaitu dari injap 210 ke 211 dengan jarak kira-kira 18 km yang terletak di kawasan Batu Tiga, Shah Alam.

“Manakala injap 211 ke 212 sepanjang 14 km di Meru, Klang, serta injap 209 ke 211 turut ditutup kerana masih terdapat tekanan gas susulan kebakaran tersebut. Kesemua injap ini telah ditutup oleh pihak Petronas pada jam 8.46 pagi tadi,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Selasa.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menjauhi kawasan-kawasan yang terjejas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tekanan gas dalam saluran paip yang terjejas akibat kebakaran telah menurun kira-kira 40 bar sejak tiga injap utama ditutup.

“Tekanan awal dalam paip tersebut direkodkan pada 50 bar. Pemeriksaan sekitar jam 11 pagi menunjukkan tekanan telah menurun kepada 10 bar dan kini ia telah berkurang lagi kepada 8 bar.

“Buat masa ini, kita menunggu gas dalam saluran paip habis terbakar dan pihak Petronas juga sedang menjalankan operasi pelepasan gas terkawal di empat injap sepanjang saluran paip.

“Tumpuan kita (pasukan operasi) adalah untuk mengepung kawasan tersebut dan memindahkan penduduk di sekitar lokasi kejadian,” katanya.

Sebelum itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi berhubung kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply