Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang berusaha memadamkan kebakaran membabitkan saluran paip gas sepanjang 500 meter di stesen minyak Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pasukan membabitkan kekuatan 62 pegawai dan anggota sedang bertungkus lumus memadamkan api yang marak.
Menurutnya, pasukan dan sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Shah Alam, Bukit Jelutong, Cyberjaya, Rawang, Klang Selatan, Klang Utara serta Damansara membantu operasi berkenaan.
“Bomba menerima panggilan kejadian 8.10 pagi sebelum kesemua pasukan termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi.
“Komander operasi memaklumkan kebakaran membabitkan kebocoran saluran paip gas Petronas anggaran panjang 500 meter yang mana api sedang marak menjulang ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berlaku berhampiran kawasan perumahan awam dan anggota bomba bersama agensi lain membuat pemindahan penduduk sekitar.
Bagaimanapun, katanya, jumlah mangsa terbabit belum dapat dipastikan lagi.
Sumber: Harian Metro
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.