Kebakaran saluran gas: 82 diselamatkan termasuk 12 cedera

Situasi terkini sekitar laluan menghala ke lokasi kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pagi ini. – Foto: Bernama

SHAH ALAM – Seramai 82 mangsa diselamatkan setakat ini termasuk 12 orang tercedera susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di Subang Jaya, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah menerima rawatan awal di Surau Nurul Iman serta Kuil Sri Maha Kaliamman sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

“Susulan itu orang awam dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan kebakaran di Jalan Putra Harmoni Putra Heights di Subang Jaya sementara usaha-usaha pemadaman sedang giat dilakukan.

“Keutamaan pada masa kini adalah untuk mengawal kebakaran serta menyelamatkan mangsa oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, 78 anggota bomba telah melaksanakan kerja-kerja pemadaman sejak jam 8.10 pagi tadi dan proses berkenaan sedang berlangsung sehingga kini.

“Keadaan api masih marak disebabkan sisa gas yang masih (ada) dalam saluran gas tersebut dan ini telah menyebabkan api marak menjulang tinggi di kawasan Jalan Putra Harmoni Putra Heights,” katanya.

Sementara itu beliau mengesahkan hanya satu sahaja PPS dibuka setakat ini iaitu PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Terdahulu media melaporkan JBPM sedang memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam. – Bernama


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply