
SUBANG JAYA – Seramai 112 mangsa terkesan membabitkan 49 kediaman di lokasi berhampiran susulan kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, di sini pada Selasa.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamed berkata, jumlah mangsa itu membabitkan penduduk di Jalan Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru yang berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati mangsa yang terlibat daripada 37 kediaman di Jalan Putra Harmoni dan 12 lagi membabitkan premis di Kampung Kuala Baru.
“Kebanyakan mangsa cedera iaitu luka di bahagian kaki dan sesak nafas. Ada mangsa yang dibawa ke Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini, pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan.
Tambahnya, pemeriksaan telah dijalankan di semua rumah terlibat.
Menurutnya, tiada kematian dilaporkan setakat ini.
“Bagaimanapun, kita akan buat pemeriksaan kali kedua bagi memastikan tiada mangsa terperangkap atau mengesan sekiranya ada elemen kebakaran.
“Justeru, kita juga menyeru sekiranya orang ramai mempunyai maklumat atau terdapat ahli keluarga yang tinggal di lokasi kejadian yang gagal dihubungi untuk melaporkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Menurut beliau, pihak bomba juga mengarahkan pihak Petronas untuk melaksanakan kerja pelepasan gas di tiga pintu injap saluran gas.
“Kita jangkakan akan ambil masa sebelum keseluruhan gas terbakar jadi habis. Jangka dalam empat jam, tetapi berharap dipendekkan dari masa tersebut.
“Ini bergantung jumlah pelepasan, langkah keselamatan di sekeliling,” katanya.
Jelasnya, dimaklumkan sebanyak dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Height.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.