SMIC Akan Melengkapkan Pembangunan Cip 5nm Tahun Ini

Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC) ialah faundri yang berpangkalan di China dan mereka berjaya membantu Huawei kembali menghasilkan cip Kirin menggunakan kelengkapan lama. Cip terkini Kirin 9020 yang digunakan pada siri Mate 70 dan Pura X dihasilkan menggunakan teknologi 7nm yang kini sudah agak berusia. Menurut laporan WCCFTech, SMIC kini dipercayai bakal melengkapkan pembangunan cip dengan teknologi 5nm tahun ini.

Kajian menghasilkan cip 5nm telah dilakukan tahun lalu tetapi dipercayai mengalami beberapa isu. Ini kerana SMIC terpaksa menggunakan mesin DUV yang sudah berusia sedangkan cip Qualcomm dan MediaTek sudah berpindah ke teknologi EUV. SMIC tidak dibenarkan membeli mesin EUV yang dikeluarkan oleh ASML disebabkan halangan teknologi yang dikenakan Amerika Syarikat.

Walaupun SMIC dijangka boleh mengeluarkan cip 5nm seawal tahun ini, kos pengeluaran dikatakan 50% lebih tinggi dengan hasil wafer yang lebih rendah berbanding yang berjaya dicapai oleh TSMC. Selepas dikenakan sekatan, Huawei telah mempatenkan teknologi EUV mereka sendiri dua tahun lalu. Bagi mempercepatkan proses mengejar ASML, Huawei turut dilaporkan menawarkan gaji tiga kali ganda kepada kakitangan TSMC, Zeiss dan ASML untuk berhijrah ke syarikat mereka.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply